Amalan meditasi, iaitu penghayatan zikir yang sebenar diisyaratkan di dalam firman Allah SWT (yang bermaksud): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (al-Anfal, 8: 2).
Allah s.w.t. menyifatkan orang yang berakal sebagai: “… (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengi-ngati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Ali ‘Imran, 3: 191). Dalam setiap keadaan mereka melakukan dua perkara serentak iaitu mengingati Allah dan juga berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
Menurut kebanyakan ulama: Zikir dengan lisan tidak diambil kira jika tidak terbit dari hati. Zikir kepada Allah s.w.t. adalah kerana keagunganNya, maka terdetik rasa kagum dan hebat. Adakalanya kerana kekuasaan Allah s.w.t., lalu tercetus rasa takut dan gementar. Adakalanya kerana nikmat Allah s.w.t., lantas lahirlah rasa cinta dan syukur. Kadang kala pula kerana kelebihan Allah s.w.t. yang amat mengagumkan, ia menyebabkan seseorang itu berfikir dan mengambil pengiktibaran. Justeru, seseorang itu tidak berhenti sedikitpun dari mengingati Allah dengan cara sedemikian.
Zikir memberikan kehidupan yang sebenar, yakni menghidupkan hati dan ruh. Ini sebagaimana yang diungkapkan di dalam al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna”. (Al-Anfal, 8: 24). Kehidupan tersebut lahir melalui ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah dan RasulNya. Nabi s.‘a.w. menyebut bahawa: “Bandingan orang yang mengingati Tuhannya dan yang tidak mengingatiNya adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Diriwayatkan daripada Abu Musa r.‘a.)
Antara fenomena dalam kehidupan tersebut ialah ketenangan dan keyakinan hati kepada Allah s.w.t. Ayat tadi dilengkapkan dengan firmanNya: “… dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal, 8: 24). Ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang kuat dan langsung antara kehidupan dan hati.
Jalan utama untuk mendapatkan keyakinan di hati seperti yang dijelaskan di atas ialah zikrullah. Ini berpandukan kepada firman Allah s.w.t.: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Al-Ra‘ad, 13: 28). Di antara sifat utama orang yang taat dan patuh ialah: “…iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka.” (Al-Hajj, 22: 35). Allah s.w.t. memberi ancaman kepada hati yang mati dan tidak tergugah de-ngan zikir: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah (zikrullah). Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. (Al-Zumar, 39: 22).
Hubungan antara hati dengan zikir ialah: Apabila seseorang hamba mengingati nama-nama atau sifat-sifat Allah: al-Razzaq (Maha Pemberi rezeki), al-Fattah (Maha Membuka), al-Wahhab (Maha Memberi), al-Karim (Maha Mulia) dan al-Basit (Maha Pelapang hidup), maka hatinya tenteram kerana yakin dengan rezeki Allah. Apabila mengingati nama Allah: Al-Ghafur (Maha Mengampun), al-Rahim (Maha Penyayang), al-Tauwab (Maha Menerima Taubat), dan al-‘Afw (Maha Memaafkan), maka hati menjadi tenteram kerana yakin dengan keampunan dosa dan penghapusan kesalahan. Apabila mengingati nama Allah: Al-Qadir (Maha Berkuasa), al-Muntaqim (Maha Membalas) dan al-Jabbar (Maha Perkasa), maka hati menjadi tenteram kerana yakin dengan kuasa Allah mengenakan balasan terhadap golongan pelampau, menggagalkan perancangan golongan yang ingin melakukan penganiayaan, dan mengalahkan orang yang zalim.
Begitu juga dengan mengingati nama Allah yang teragung iaitu al-Haiy al-Qaiyum (Yang Tetap Hidup dan Maha Kekal Mentadbir), ia mengingatkan kepada sifat-sifat kehidupan yang lazim dengan segala sifat kesempurnaan, sementara sifat mentadbir mencakupi segala sifat perbuatan. Kehidupan yang sempurna menangkis segala jenis penyakit dan kesakitan. Kekurangan dalam kehidupan menyebabkan kecatatan dalam perbuatan. Hal ini pula bercanggahan dengan sifat mentadbir. Lantaran kesempurnaan mentadbir adalah disebabkan kesempuraan hidup. [Al-Tibb al-Nabawi: Ibn Qaiyim].
Demikianlah betapa penghayatan terhadap nama-nama dan sifat-sifat Allah akan memberikan ketenteraman dan keyakinan kepada hati. Tambahan pula, keyakinan hati yang benar-benar mantap dapat mengalahkan syaitan yang ingin menyesatkan manusia, melemahkan kekuatan iman dan mencetuskan keraguan terhadap Tuhan.
Nabi s.‘a.w. telah memaklumkan bahawa senjata yang paling ampuh untuk menghadapi syaitan ialah zikrullah. Sabda Baginda: “Sesungguhnya syaitan meletakkan tali hidungnya di hati anak Adam. Apabila ia ingat kepada Allah, maka syaitan akan menjadi lemah. Apabila ia terlupa, maka syaitan mencetuskan keraguan kepadanya.” (Riwayat al-Hafiz al-Mausuliy). Oleh yang demikian, kehidupan hati yang sebenar lahir dengan zikrullah, tafakkur dengan nama dan sifat Allah, dan berdamping kepada Allah.
Selain daripada hati ialah lidah yang hidup, iaitu lidah yang basah berzikir kepada Allah. Nabi s.‘a.w. berpesan: “Hendaklah lidah kamu sentiasa basah dengan zikrullah.” (Riwayat al-Tirmiziy). Sabda Nabi s.‘a.w.: “Amalan yang paling disukai Allah ialah jika kamu dimatikan lidah kamu sentiasa basah dengan zikrullah.” (Riwayat Ibn Hibban, al-Tabarani daripada Mu‘az).
Jika basah pada tanaman menunjukkan kesuburannya, maka lidah yang basah menunjukkan kehidupannya masih berterusan.
Antara fenomena kehidupan dalam zikrullah ialah dua mata yang hidup. Tanda ia hidup ialah tangisan air mata. Ini sebagaimana sabda Nabi s.‘a.w. mengenai tujuh orang yang mendapat naungan Allah pada hari-hari yang tiada naungan lain: “Orang yang yang mengingati Allah lalu berlinanganlah air matanya.”
Kata al-Qurtubi: Air mata berlinangan mengikut keadaan orang yang berzikir dan perkara yang terlintas padanya. Jika mengenang kepada keagungan maka tangisannya adalah kerana takut kepada Allah. Jika mengenang kepada keindahan maka tangi-sannya kerana rindu.
Kata ulama: Orang mukmin berzikir dengan semua badannya. Ini kerana apabila ia berzikir dengan hatinya seluruh anggota juga turut berzikir dengan cara tersendiri. Tatkala tangan dihulurkan kepada sesuatu lalu ia mengingati Allah, maka ia menghindarkan tangannya dari perkara yang dilarang Allah s.w.t. Tatkala kaki melangkah lalu ia mengingati Allah, maka ia menundukkan pandangannya dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t. Demikian juga dengan pendengaran dan lisan serta anggota-anggotanya adalah dipelihara dengan pengawasan Allah, dipandu dengan arahan Allah dan rasa malu terhadap pandangan Allah. Inilah zikir sepertimana yang dimaksudkan dalam firman Allah s.w.t.: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Al-Ahzab, 33: 41).
Allah s.w.t. sentiasa memuliakan hambaNya dan memberikan pelbagai kelebihan. Firman Allah s.w.t.: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepada kamu.” (Al-Baqarah, 2: 152). Kata Sa‘id bin Jubair: “Ingatlah Allah dengan ketaatan kepadaNya, nescaya Allah mengingati kamu dengan keampunan dan rahmat.”
Tuhan yang Maha Agung mengingati hambaNya yang lemah. Tuhan yang Maha Kuat mengingati hambaNya yang lemah. Tuhan yang Maha Kaya mengingati hambaNya miskin. Ingatlah Allah dengan penuh rasa hina, nescaya Allah mengingati kamu dengan anugerah kelebihan. Ingatlah Allah di peng-hujung malam, nescaya Allah mengingati kamu siang dan malam. Ingatlah Allah dengan susah-payah, nescaya Allah mengingati kamu dengan kemurahan. Ingatlah kepada Allah dengan pujian, nescaya Allah mengingati kamu dengan pemberian. Ingatlah Allah dengan penyesalan, nescaya Allah mengingati kamu dengan kemuliaan. Ingatlah Allah di tempat tinggal yang sementara, nescaya Allah mengingati kamu di tempat tinggal yang kekal. Ingatlah Allah di tempat ujian, nescaya Allah mengingati kamu di tempat ke-nikmatan. Ingatlah Allah di tempat kesusahan, nescaya Allah mengingati kamu di tempat kesenangan.
Akan tetapi tabiat manusia itu sentiasa lalai dan lupa. Adalah suatu yang amat merugikan jika ia lupa pada TuhanNya. Firman Allah s.w.t.: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Taha, 20: 124).
Firman Allah s.w.t. lagi: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Al-Hasyr, 59: 19).
Oleh itu, awaslah! Seseorang itu lupa kepada Allah s.w.t. disebabkan syaitan menguasi diri. Firman Allah s.w.t.: “Syaitan telah menguasai dan mempe-ngaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.“ (al-Mujadalah, 58: 19).
Begitulah pengertian dan kepentingan zikir. Yang mana penghayatan maksud-maksud yang tersirat di sebalik lafaz-lafaz zikir yang ma’thur menjadi teras aqidah Islam, di samping ia adalah pasak jati diri seseorang Muslim.
Sunday, June 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment