Tuesday, June 10, 2008

Awasi Gerakan Tabdi`

GERAKAN TABDI‘ ATAU HARAKAH TABDI`
Dalam masyarakat Islam berlaku juga fenomena apa yang dipanggil sebagai gerakan tabdi’. Ini adalah satu fenomena dimana terdapat sekelompok masyarakat Islam yang suka membid‘ahkan amalan-amalan khilafiyyah. Pergerakan tabdi‘ ini sudah sekian lama berjalan. Pemikiran sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan berlaku hampir di seluruh dunia Islam. Pendokong gerakan ini berfikiran sempit dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa terdapat beberapa hukum furu‘ dimana fuqaha’ berbeza pandangan tentangnya. Apabila mereka menemui amalan-amalan yang berlaku dalam masyarakat tidak selari dengan fahaman mereka dan mazhab yang dianuti, lantas dituduhnya bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah dalalah dan setiap dalalah balasannya neraka.

Pergerakan ini banyak mengganggu perjalanan dan kerja-kerja ulama bagi menegakkan Syariat Islam dan mendaulatkan hukum Allah dalam masyarakat dan negara. Mereka boleh dianggap sebagai sebahagian daripada halangan kepada gerakan Islam untuk membawa umat manusia kepada tertubuhnya sebuah masyarakat dan negara Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH
Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, di samping ada yang hanya disepakati di kalangan ulama-ulama mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama-ulama dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas, kerana khilaf dalam perkara ijtihadi dan hukum yang berasas kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi‘iy, bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja. Ini tidak mungkin berlaku, bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad, kerana seorang yang mampu berijtihad wajib berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya, bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF
Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kalangan bukan ulama mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak-peranda dan kecelaruan dalam masyarakat. Justeru itu, kita merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya, termasuk perkara-perkara:

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sentimen ta‘assub mazhab secara buta tuli, kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam. Bahkan ia merupakan aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metode dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

2. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab, kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat hukum adalah suatu perkara yang lumrah dan tabi‘iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh dan betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajiban mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.

3. Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama-ulama mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul mahupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

4. Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

5. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya, kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati para ulama. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
“Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama atas pengharamannya”.

6. Kita mesti beradab dengan ulama yang berbeza pandangan dengan kita.

7. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat dengannya sebagai sesat, pembuat bid‘ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

8. Janganlah kita terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak “alim besar” menghentam ulama-ulama silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama padanya. Lebih dahsyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama, kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

9. Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat rugi andainya seorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

10. Sebagai seorang pendakwah kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh al-Syaikh ‘Abd al-Rasyid Ridha:
“Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak-ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.

11. Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah: “Keluar dari khilaf itu digalakkan”.

Dalam hubungan ini, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan beberapa panduan dalam menghadapi masalah khilafiyyah dengan mengatakan seperti berikut:

Asas-asas Pemikiran dalam Fiqh Ikhtilaf

1. Khilaf dalam perkara Furu‘ suatu yang mesti berlaku dan merupakan rahmat yang luas.
2. Mengikut atau mengamalkan manhaj dan pendekatan sederhana, di samping meninggalkan berlebih-lebih atau ekstrim dalam agama.
3. Menumpukan ke atas hukum-hukum yang jelas dan nyata, tidak kepada hukum-hukum yang samar-samar.
4. Mengelak dari membuat keputusan pasti dan membantah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah.
5. Pentingnya meninjau perbezaan pandangan ulama.
6. Menentukan secara tepat segala mafhum dan istilah-istilah yang digunakan.
7. Mengajak orang Islam memikirkan tentang malapetaka besar yang menimpa umat Islam.
8. Bekerjasama dalam perkara-perkara yang disepakati.
9. Bertoleransi dalam perkara-perkara yang berbeza pandangan.
10. Mengelakkan diri dari menghukum (kafir) mereka yang berkata “Lailaha ilaLlah”.

Asas-asas Akhlak kepada Fiqh Ikhtilaf

1. Ikhlas dan menjauhi diri daripada mengikut hawa nafsu.
2.. Bebaskan diri daripada bersikap ta‘assub dan fanatik kepada orang persaorangan, mazhab dan kelompok.
3. Menyangka baik kepada orang lain.
4. Tinggalkan amalan mencela dan mencerca mereka yang berbeza pandangan (dengan kita).
5. Jauhkan daripada bertengkar dan berlawan dengan keras dalam perbalahan.
6. Berdialog dengan cara yang terbaik.

Antara amalan-amalan yang sering dibangkitkan oleh golongan ini ialah seperti:

1) Membaca doa qunut.
2) Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3) Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4) Talqin mayat setelah dikebumikan.
5) Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6) Fidyah sembahyang.
7) Berwirid secara jama‘ah lepas sembahyang fardhu.
8) Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan yang harus dikahwini.
9) Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10) Bilangan rakaat sunat tarawih, 20 atau 8.
11) Membaca surah Yasin di malam Jumaat.
12) Maulid al-Rasul s.a.w,
13) Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14) Imam berdoa lepas solat jama‘ah dan makmum mengaminkannya.
15) ‘Aqiqah dengan kambing sahaja.
16) Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca doa tertentu.

Sumber:
- Risalah Ahkam, Ustaz Soleh Haji Ahmad: Terbitan Intel Multimedia and Publication
- Ucap utama Pemangku Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia 2005 http://onlinerock.com/services/jailurrashied//ProdukTerbaru/ogos2005.htm


BID`AH: SATU PENJELASAN KONSEPTUAL
Terdapat dua golongan ulama yang mempunyai konsepsi yang berbeza dalam membincangkan takrif bid`ah, iaitu al-Imam al-Syafi`ie yang cenderung membahagikan bid`ah kepada dua kategori, manakala al-Syatibi yang mempunyai pandangan sebaliknya. Dalam konteks amalan umat lslam di Malaysia, perbezaan pandangan ini harus diterima dalam suasana yang sihat dengan catatan bahawa pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam, khususnya di kalangan yang tidak mampu untuk berijtihad secara tersendiri. Selain daripada itu, umat lslam juga perlu mengutamakan perkara-perkara pokok dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan hal-hal khilafiyyah yang dikaitkan dengan isu bid`ah sehingga menggugat perpaduan dan keutuhan umat lslam di seluruh dunia. Apatah lagi di kala umat lslam berdepan dengan pelbagai cabaran globalisasi dan cabaran pasca modernisme masa kini.

Sumber: Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Pengurusan Dakwah: Memahami Realiti dun Keutamaan Semasa, anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Pegawai-pegawai Masjid Wilayah Persekutuan ada 18 Jun 2005 di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur. (Oleh: Mohd Fauzi Hamat dan Abdul Karim Ali Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur)
Selengkapnya: http://onlinerock.com/services/jailurrashied//dr_fauzi_dr_karim.doc


BID`AH: KETERANGAN USUL KE SEBELAS DAN DUA BELAS
- Usul ke 11
"Setiap bid'ah di dalam agama Allah, yang tidak ada asal baginya yang dianggap baik oleh manusia menurut keinginan (hawa) mereka sendiri - samada melalui tambahan atau pengurangan - adalah suatu kesasatan yang wajib diperangi dan dihapuskan, (tetapi) dengan cara yang paling baik sehingga ia tidak menimbulkan pula keburukan yang lebih dahsyat (dari adanya bid'ah tersebut)".

1. Sesuatu yang baharu adalah disebut bid'ah. Tetapi sesuatu yang baharu itu (bid'ah) tidak dikeji kiranya ia termasuk di dalam asal yang digalakan oleh Allah atau ianya termasuk di dalam perkara yang dapat melaksanakan maslahat Syara' seperti penulisan mashaf, pengumpulan hadis-hadis dan pembinaan hospital-hospital.

2. Di sana terdapat jenis bid'ah yang pada anggapan pencipta-penciptanya sebagai mempunyai asal di dalam syariat Allah, dan mereka dapat melaksanakan maslahat Syara' atau melaksanakan suatu perintah Allah (melalui Bid'ah) tersebut seperti yang akan diceritakan kepada kita oleh Ustaz Hassan al-Banna sendiri di dalam asal ke dua belas, maka bid'ah seperti ini mempunyai hukumnya.


3. Di sana terdapat bidah didalam agama Allah yang tidak ada asal (sama sekali) tetapi hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Maka (bahagian) inilah yang menjadi maksud perbincangan di sini. Pada saya perbezaan di antara bid'ah jenis ini dengan bid'ah berikutnya ialah bahawa asal bid'ah ini, tidak dipertikaikan lagi dikalangan ahli-ahli fiqh bahawa ianya adalah bid'ah haram (bid'ah muharramah). Sedang bid'ah jenis berikutnya adalah dipertikaikan oleh ahli-ahli fiqh. Bid'ah muharramah adalah dibicarakan oleh Ustaz Hassan al-Banna di sini, dan (jenis bid'ah yang dipertikaikan oleh mereka adalah dibicarakan oleh Ustaz Hassan al-Banna di dalam asal kedua belas.

4. Bid'ah yang telah diijma'kan oleh para fuqaha sebagai haram adalah sesat; wajib diperangi dan dihapuskan. Namun demikian di dalam syariat kita terdapat asal umum yang wajib dijaga iaitu mengubah seuatu mungkar, jika mengakibatkan (berlaku) mungkar yang lebih besar, maka kita wajib mencari jalan mengubah secara lain ataupun kita diam diri. Dengan sebab itulah Ibn Taimiyyah (rahimahullah) melarang murid-muridnya (dari) menegah orang-orang Tatar meminum arak sebab orang-orang Tatar itu bila mabuk mereka akan tidur. Jadi orang-orang lslam bebas dari gangguan mereka semasa mereka mabuk dan tidur. Tetapi apabila mereka terjaga dan tidak mempunyai kerja mereka akan merosakkan kehormatan orang-orang Islam, merampas harta mereka ataupun membunuh mereka.

lnilah suatu point penting yang dicapai oleh Ustaz Hassan al-Banna, yang merupakan salah satu faktor pembaharuan yang istimewa di dalam dakwah Hassan al-Banna; sepertimana yang telah kita syarahkan di dalam buku kita "al-Madkhal", bahawa di sana terdapat haqqu al-'ilm, haqqu al-da'wah, haqqu at-tarbiyah dan haqqu al-ma'rakah (perjuangan). Dakwah Ustaz Hassan al-Banna adalah mengambil berat ini semua.

- Usul ke 12
Bid'ah tambahan, peninggalan dan kelaziman di dalam ibadat-ibadat yang mutlak adalah merupakan perkara fiqh yang dipertikaikan. Setiap pihak mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa dicari hakikat dengan dalil dan bukti".

1. Ada terdapat contoh di mana bid'ah tambahan dan bid'ah peninggalan bersatu dalam masa yang sama iaitu zikir dengan nyaring di sisi ienazah. Mengikut sunnah hendaklah senvap. Tetapi dalam zaman kebelakangan ini orang ramai telah berzikir secara nyaring semasa mengiringi jenazah. Jadi jelas yang sunnah ditinggalkan, dan ini termasuk bid'ah peninggalan. Sebaliknya mengadakan zikir (secara nyaring) pula menjadi bid'ah tambahan. Bid'ah seperti ini adalah dipertikaikan oleh ahli-ahli fiqh sebab "zikir" dituntut dalam setiap keadaan dan manusia pula membuat perubahan sehingga menjadi apa yang hikmah pada masa Rasulullah (s.a.w.) telah berubah. Sungguhpun Ustaz Hassan al-Banna sentiasa cenderong untuk kembali kepada asal dan ingin mendidik manusia supaya bersikap demikian, tetapi beliau membiarkan masalah ini dibincangkan kepada salah satu dari dua pendapat dalam kes-kes seperti ini sebagai cara terbaik kerana orang ramai tidak akan bersedia menerima dakwah lkhwan al-Muslimin.

2. Terdapat ibadat-ibadat yang digalakkan kita melakukannya secara mutlak seperti membanyakkan zikir tanpa had. Kita digalakkan supaya sentiasa beristighafar, bertahlil, dan berselawat ke atas Rasulullah (s.a.w.). Ahli-ahli pendidik dalam berbagai masa telah mendapati bahawa sifat mutlak tetapi ada kesediaan yang, berterusan disamping ada ilmu, akan tetap mencapai maksud. (Maksudnya sesuatu perintah yang bersifat mutlak akan mencapai maksud sekirannya ada ilmu dan kesediaan) Tetapi bagi orang-orang awam (al-'ammah) yang sudah kurang persediaan (untuk berzikir) di zaman-zaman kebelakangan ini perlu diletakkan di dalam peringkat-peringkat iaitu dengn cara dimintanya melakukan zikir dengan bilangan tertentu kemudian dipindahkan ke peringkat lain menurut persediaannya, menurut keperluan pengubatan jiwanya dan menurut keperluan kepada kesedaran hati. Cara ini menimbulkan konsep "bilangan" dalam ibadat yang mutlak. Subjek ini juga menjadi bahan pertikaian fiqh. Dakwah Ustaz Hassan al-Banna merangkumi kedua-dua aliran sebab perkara ini bukanlah merupakan perkara yang beredar di sekitar kufur dan iman tetapi perkara tersebut adalah di antara al-fadil (yang baik) dengan al-afdal (yang lebih baik).

3. Sungguhpun Ustaz Hassan al-Banna tidak menganggap usul tetapi beliau memberi galakan supaya dicari hakikat. Cara yang praktikal dilakukan oleh Ustaz Hassan al-Banna ialah beliau mengumpulkan semua zikir-zikir yang ada nas, ke dalam risalah "al-mathurat".

Beliau meminta kawan-kawannya beramal (dengn zikir tersebut) dan mengekalkan kemutlakannya menurut keadaannya

(Sumber: Pendidikan Harakah Islamiyyah: Syarah Risalah Ta`lim. Oleh: Said Hawwa. Terbitan: Pustaka Fajar, Shah Alam )

BID`AH DALAM KONSEP ISLAH DAN TAJDID MENURUT IMAM HASAN AL-BANNA: MEMAHAMI PRINSIP-PRINSIP ISLAM DI DALAM RISALAH TA`LIM

1) Hukum Taklifi Bagi Bid‘ah Di Sudut Akidah, Ibadat Dan Adat
Telah kami utarakan sebelum ini, iaitu antaranya bid‘ah wajib, sunat, haram, makruh dan juga yang harus. Kami telah kemukakan misalan dan kami telah bicarakan pada prinsip yang ke sebelas daripada prinsip ‘faham’.

Di sini ada sedikit penambahan beberapa jenis bid‘ah yang lain antaranya:

1.1) Bid‘ah pada akidah:
Bid‘ah ini adalah haram bahkan sampai ke tahap kufur. Bid‘ah ini membawa kita kepada menyanggahi apa yang termaklum di dalam Agama secara dharuri, seperti bid‘ah ahli jahiliyyah yang telah diceritakan di dalam al-Quran perihal mereka di dalam firman Allah Subhanahu wa ta‘ala: “Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam.” (Al-Maidah: 103)

Para ulama’ telah menentukan bid‘ah yang kufur ini dan mereka juga bersepakat bahawa bid‘ah ini adalah kufur nyata yang tidak ragu lagi.

1.2) Bid‘ah pada ibadah:
Adakalanya ia haram, makruh dan sunat:
i) Bid‘ah haram: Contohnya ialah ‘tabattul’ (beribadat secara berlebihan), berpuasa sambil berdiri di bawah terik, matahari, memotong kemaluan untuk membendung syahwat bersetubuh dengan isteri. Ini berdasarkan hadis berkaitan mereka yang bertanya tentang amalan Nabi seolah-olah mereka merasakan amalan mereka terlalu sedikit apabila mereka berkata: “Di manakah kami dibandingkan dengan Nabi, Baginda diampunkan dosanya yang terdahulu dan terkemudian.” Berkata salah seorang daripada mereka: “Aku bangun bersembahyang malam tanpa tidur.” Manakala yang ke dua pula: “Aku berpuasa sepanjang masa tanpa berbuka.” Berkata yang ketiga: “Aku tidak mengahwini wanita selamanya.” Maka Apabila Nabi mengetahui perkara ini lantas Nabi berkata kepada mereka: “Kamukah yang berkata begini dan begini. Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah Subhanahu wa ta‘ala di kalangan kamu, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang dan tidur, aku mengahwini wanita. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku maka ia bukan daripada golongan aku.”
ii) Bid‘ah makruh: Perhimpunan di padang Arafah untuk berdoa selain dari mereka yang melakukan haji, menyebut nama-nama sultan pada khutbah Jumaat untuk membesarkan mereka dan juga menghias masjid secara keterlaluan.
iii) Bid‘ah harus: Kami telah kemukakan dua contoh, antaranya bersalaman sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang. Ia tidak menjadi kesalahan meskipun tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi dan para sahabat Baginda. Antara lain lagi berenak-enak dengan makanan yang lazat dan pakaian yang cantik dengan syarat tidak sampai ke tahap membazir kerana pembaziran adalah ditegah.

1.3) Bid‘ah Pada Adat
Terbahagi kepada dua:
i) Adakalanya makruh seperti pembaziran pada makanan, minuman dan sebagainya.
ii) Adakalanya harus seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang selesa tanpa melakukan pembaziran, memakai toyalisah (pallium), dan melabuhkan pakaian dengan tidak berlebih-lebihan dan berperasaan bongkak.

Ada sebahagian mereka yang berpandangan menokok-tambah pada perkara adat yang tiada sangkut-paut dengan ibadat adalah harus. Sebabnya ialah jika sekiranya kita boleh mengambil-kira perkara yang ditokok-tambah pada adat, nescaya kita akan menganggap segala adat makan, minum dan pakaian serta permasalahan yang berlaku selepas generasi Islam pertama adalah bid’ah yang makruh. Dakwaan ini adalah batil kerana tidak pernah diriwayatkan oleh sesiapa pun bahawa ia adalah bercanggahan dengan sunnah generasi Islam pertama, dan adat juga adalah perkara yang seiring dengan masa dan tempat.

2) Hukum Bid‘ah Idhafiyyah Dan Bid‘ah Tarkiyyah
Kita kembali kepada apa yang dinyatakan oleh al-Imam al-Banna dalam membahagikan bid‘ah kepada idhafiyyah dan tarkiyyah. Kami katakan:
Bid’ah Idhafiyyah: Menyandarkan sesuatu perkara yang tidak wujud kerana menokok-tambah.
Bid‘ah Tarkiyyah: Meninggalkan sesuatu perkara yang memang wujud kerana menokok-tambah.

Kedua-duanya adalah sama pada hukum, iaitulah sama ada: Wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Semua itu bergantung kepada jenis bid‘ah. Akan tetapi menurut bicara al-Imam al-Banna di dalam prinsip dua puluh ini; pembahagian bid‘ah adalah kepada makruh, sunat dan harus. Ini berdalilkan kepada kata-kata beliau: “Ia merupakan perselisihan feqh. Para fuqaha’ tidak berselisih pada wajib dan haram tetapi mereka berselisih pada hukum yang selain daripada itu.”

Demikian juga beriltizam pada ibadat: Seperti seseorang itu mengiltizamkan dirinya dengan zikir-zikir atau wirid tertentu. Atau ia mengiltizamkan dirinya dengan sembahyang atau puasa sunat yang tertentu.

Itu semua adalah antara pokok perselisihan antara para fuqaha’. Tiada salahnya kita meneliti dalil-dalilnya, kemudian kita berpegang kepada dalil dan bukti yang lebih kuat.


(Sumber: Syarah Usul 20 Al-Imam Hasan al-Banna. OLeh: Dr Ali Abdul Halim Mahmud. Terbitan: Pustaka Fajar, Shah Alam)

BID`AH: PENDIRIAN IMAM AL-BANNA
Imam al-Banna meneliti kata-kata ulama` yang memiliki ilmu yang mendalam, lalu beliau mendapati mereka membahagikan kategori ini kepada bid’ah idhafiyyah, tarkiyyah dan iltizam pada ibadat mutlak dalam ruang lingkup masalah ijtihadiyyah, rajih (yang jelas) dan marjuh (kurang jelas), Perlu saling nasihat-menasihati padanya tanpa berkeras, bersikap kasar, tanpa pulau-memulaukan, tidak bermusuhan dan tidak bertengkar...

Sebaliknya mereka berbincang di bawah naungan ukhuwwah dan mahabbah di jalan Allah, kerana tidak wujud di sana kata putus dan ketetapan.

Imam al-Banna menetapkan, kategori ini adalah termasuk dalam perkara khilaf feqhi. Dengannya, bertautlah hati sanubari dan bersatunya barisan serta bertemu atas dasar kesederhanaan dengan menetapkan perkara tersebut berdasarkan neraca yang adil tanpa menambah dan mengurang.

Dengan ini, tiada tegahan untuk membincangkan permasalahan yang termasuk dalam kategori ini, berserta dalil-dalil dan bukti di bawah naungan mahabbah dan persaudaraan.

Manakala pendiriannya secara praktik, beliau sangat-sangat gemarkan kepada yang thabit lagi jelas serta bersih, dari sunnah Rasul serta jauh dari perselisihan. Ini jelas sepertimana yang beliau telah susun dalam ma`thurat, risalahnya yang masyhur.

Beberapa contoh bid'ah idhafiyyah:

- Berselawat kepada Rasul dengan suara lantang selepas azan.
- Membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat dengan lantang sebelum sembahyang secara berkumpulan, seolah-olah ia satu syiar sembahyang.
- Berzikir selepas sembahyang secara berjama'ah.

Beberapa contoh bid`ah tarkiyyah:

- Enggan berkahwin kerana ingin taqarrub kepada Allah dengan banyak beribadat.
- Enggan memakan daging merpati kerana ingin memuliakannya.

Beberapa contoh iltizam dengan ibadat mutlak:

- Iltizam membaca surah al-Ikhlas pada setiap pagi seratus kali.
- Iltizam membaca fatihah sepuluh kali setiap kali selepas sembahyang.

(Sumber: Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta`lim. Oleh: Muhammad Abdullah al-Khatib. Terbitan: Pustaka Fajar, Shah Alam)

BID`AH: KE ARAH PENYELESAIAN MASALAH TABDI` DALAM REALITI SEMASA
Syeikh Said Ramadan al-Buthi menegaskan: Setiap pihak dalam dua pendapat atau lebih mengenai masalah ijtihadiah berhak untuk berpegang bahawa pendapatnya adalah benar. Tetapi bukanlah haknya untuk menentukan bahawa pihak yang menyanggah pendapatnya adalah sesat dan tersasar daripada petunjuk. Ini kerana jika berlaku demikian maka tidak wajar dalam masalah seperti itu terdapat perkara yang rumit dan ia menjadi ijtihadiah. Lantas pada saat itu, tidak terdapatlah perbezaan pendapat mengenainya. (Al-Salafiah: Marhalah Zaminiah Mubarakah La Mazhab Islami)

Dr. Wahbah al-Zuhaily: Kita mestilah memberi tumpuan tentang intipati suatu perkara, mencegah perkara mungkar yang haram secara qatie (tepat dan muktamad), pengabaian objektif dan paksi syariat, dan keterlibatan dalam maksiat.. Adalah begitu banyak terdapat bid`ah yang mungkar yang disepakati pendapat ulama mengenainya dalam aqidah, ibadat dan adat yang telah berleluasa. Asas hukum sebagai syirik atau kufur; iman dan tauhid atau sesat dan fasiq; atau tercela dan terlaknat secara nyata; semua ini terdapat di sebalik pertuturan yang jelas dan terbit dari niat yang buruk serta penyelewengan yang nyata daripada syariat Islam. Bukanlah asas hukum sebagai kufur dan bid`ah itu dengan serangan yang dahsyat terhadap perkara khilafiyah dan juziiyah (cabang) di samping memperlekehkan pandangan ulama yang bersandarkan kepada dalil yang terang sama ada ia diterima pakai oleh selainya maupun ditinggalkan. (Al-Bid`ah al-Mungkarah; al-Sahwah al-Islamiah: Dr Yusuf al-Qardawi).

Syeikh Abdul Halim Mahfuz: TIDAK HARUS orang-orang Islam melantunkan lidah mereka mengecap para ulama dan pengikut mereka sebagai pembuat bid`ah dan sesat selagimana masalah terbabit bukan perkara sepakat pendapat ulama (muttafaq). Sebab asas pemahaman ulama mengenai bid`ah adalah berbeza-beza dan terlalu banyak. (Al-Sunnah wa al-Bid`ah: al-Hadhrami)

Sumber: Prosiding Seminar Kebangsaan Usul Feqh 2004. Mafhuma Ikhtilaf al-Fiqhiy wa al-Bid`ah: Nahwa Halli Musykilah al-Tabdi` fi al-Waqi` al-Islamiy al-Rahin.
http://onlinerock.com/services/jailurrashied//ProdukTerbaru/seminarusulfeqh.htm

No comments: