Tuesday, June 10, 2008

Kehidupan Ruhaniah

Memupuk Syafafiyyah Ruhiyyah Adalah Faktor Keampuhan Daya Juang

Memupuk Syafafiyyah Ruhiyyah

Hubungan roh yang hangat adalah faktor yang menjiwai dan menjalin ikatan mahabbah antara pimpinan dan orang ramai. Oleh itu, suatu misi penting ialah melaksanakan amalan-amalan yang menjana kekuatan rohani atau menggilap potensi tersebut agar mencapai darjat syafafiyyah yang tinggi sehingga hampir dengan maqam dan darjat rohani para leluhur di zaman silam.

Dalam hadis Qudsi yang masyhur, Allah SWT berfirman.

“Para hamba-Ku akan terus berusaha menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat. Sehinggalah Aku mengasihi mereka. Apabila Aku mengasihi mereka, Akulah tangan yang menggerakkan, Akulah mata yang mereka melihat dengannya.”

Pendidikan rohani sebenarnya merangkumi aspek pencegahan (preventive) seperti mengelakkan umat Islam dari kesesatan aqidah dan kufur. Ia menghindarkan mereka dari keadaan tidak seimbang dalam aspek perasaan (emosi) dan fikiran (mental) sehingga melakukan perbuatan haram, durjana dan kezaliman. Ia juga merangkumi aspek pembangunan dan pengukuhan nilai-nilai rohaniah dalam diri umat Islam seperti ibadah, solat, zikir dan lain-lain. Akhirnya ia merangkumi aspek rawatan (treatment) dan pengawalan (control). Ini diusahakan melalui taubat, tazkirah, tarbiah, tau‘iyah, ‘ilajiyyah dan lain-lain.

Ketelusan jiwa atau safafiyyah ruhiyyah diraih dengan pelbagai cara. Al-marhum Syeikh Sa'id Hawa menerangkan ia merangkumi amalan sembahyang, zakat dan berbelanja di jalan Allah, berpuasa, menunaikan haji, membaca al-Quran, berzikir, berfikir tentang penciptaan Allah, mengingati mati; di samping memendekkan angan-angan, al-muraqabah, al-muhasabah, al-mujahadah, muatabah melaksanakan amal makruf nahi mungkar, berdedikasi, tawaddu’, mengenali tipu daya syaitan, bersungguh-sungguh mengatasinya, mengenali penyakit hati atau jiwa dan bersungguh-sungguh merawatinya.

Tarbiah rohaniah yang ideal bukan hanya membuahkan keinsafan, khasyyah, hubb, raja’ dan takwa, tetapi juga tarbiah yang menjana semangat dan ruh perjuangan untuk menentang kezaliman, ketidakadilan, kejahatan dan penyalahgunaan kuasa. Tarbiah ini disebut sebagai tarbiyah ruhaniyyah harakiyyah di mana aspek perjuangan dan jihad diperkasa dan diperkukuh untuk merubah masyarakat daripada berteraskan jahiliah kepada berteraskan masyarakat yang bebas, merdeka dan bertamadun.

Aliran kerohanian yang beku lagi membekukan. Rela diperhamba dan ditindas tanpa semangat perjuangan dan kejantanan. Aliran ini adalah aliran yang disokong oleh para penjajah dan kuncu-kuncunya. Ia membentuk jiwa yang betah dengan penjajah dan semangat penjajahan.

Masyarakat tidak akan dapat dibangun dengan jiwa seperti ini. Sebaliknya, masyarakat hanya dapat digerakkan, dibangun dan direformasikan oleh tarbiyah ruhiyyah yang syumul dan dinamik. Tarbiah sebegini akan mampu menghasilkan perubahan yang menyeluruh dalam pemikiran, sikap, kelakuan, kaedah perjuangan dan gerak kerja aktivis masyarakat itu sendiri. Tarbiyah ruhiyyah yang melahirkan manusia yang berjiwa bebas dan merdeka. Manusia yang rela berkorban kerana prinsip dan dasar perjuangan.

Dalam meneliti beberapa buah kitab berkaitan dengan tulisan ini, antara yang menarik ialah pesanan al-Marhurn Syeikh Sa'id Hawa yang mewasiatkan pesanan berikut kepada para kekasih Allah. Beliau berkata:

Pesananku kepada kekasih Allah:

Pertama: Hadirilah majlis ilmu, pilih yang mana lebih baik dan menguntungkan. Jangan berjanji melainkan mesti bersama dan menurut titah perintah Allah melalui ajaran al-Quran dan Sunnah Rasul, menurut jejak para ulama leluhur dari kalangan ahli Sunnah wa Jamaah. Justeru, beriltizam dengan kesetiaan tanpa ilmu mungkin menambah dosa dan membawa padah.

Kedua: Mengadaplah ke hadrat Allah dengan mengerjakan segala amal fardhu atau sunat, sama ada solat, puasa, zakat, puasa, haji, tilawah al-Quran, zikir, dan selawat kepada Rasul tanpa berlebihan. Laksanakan bacaan zikir-zikir yang penting tanpa menyebabkan terganggu pelaksanaan tanggungjawab duniawi.

Ketiga: Berusahalah setakat yang terdaya dan menurut masa lapang dengan cara menyebut zikir yang meraih kemesraan Allah SWT.

Saya harap belum selesai anda mewiridkan, hati anda menjadi lapang dan ceria. Saya harap anda kekal bergaul dengan orang ramai dan berdakwah dalam keadaan sentiasa berzikir. Di samping itu, jangan lupa sembahyang sunat i’tikaf, wirid harian dan membaca al-Quran.

Keempat: Sediakan masa tertentu untuk membaca bahan-bahan yang berguna secara terencana setiap hari.

Kelima: Amalkan wirid-wirid ma’thurat dan wirid yang anda sukai. Jangan lupa membaca al-Quran, dan istighfar harian sebanyak 100 kali, selawat 100 kali, mengulang kalimah tauhid: tidak kurang dari 100 kali, subhanallah wabihamdihi 100 kali, dan membaca surah al-Ikhlas 3 kali.

Keenam: Bacalah risalah al-Ma’thurat oleh al-Syahid Hasan al-Banna. Amalkan Ma’thurat al-Sughra setakat yang mampu.

Ketujuh: Kenal dan carilah mursyid yang sempurna dan jangan tergesa-gesa. Nilailah status dan kedudukan beliau dan muridnya dengan neraca ilmu. Berdasarkan penilaian itu, bertindaklah sama ada untuk mengikutinya atau sebaliknya. Seandainya ia tidak sesuai untuk diikuti, maka layanilah beliau dengan sopan santun. Namun, seandainya anda ingin berguru dengannya secara mengambil berkatnya sahaja; sedangkan beliau tidak memenuhi syarat seorang mursyid yang sempurna, maka perbanyakkanlah selawat untuk Rasulullah s.a.w.

Kelapan: Di mana dan siapa jua yang anda boleh mendapat kebaikan daripadanya dan terhindar daripada musibah, maka bergaullah dengan mereka berdasarkan kaedah Sunnah Rasulullah: “Ambil yang ma`ruf, tinggalkan yang mungkar.”

Kesembilan: Di mana saja anda berkesempatan, adakanlah majlis ilmu dan majlis zikir. Di mana sahaja anda boleh berdakwah kepada kebenaran, laksanakanlah. Jadikanlah diri anda pembimbing atau pembantu orang lain.

Kesepuluh: Bertuturlah kepada ulama dengan cara yang beradab. Bercakaplah dengan pihak yang berkuasa dengan cara penuh hormat. Jangan berkomunikasi dengan mereka kecuali kalau itu sudah kemestian menurut ilmu. Kadang-kala ada orang yang berkonfrontasi dengan ulama, penguasa dan pemerintah tanpa mengikut tatacara yang digariskan oleh syarak. Ini tentu merugikan. Namun, dalam waktu yang sama jangan pula bakhil untuk mengirimkan nasihat bertulis secara sulit kepada mana-mana makhluk Allah yang memerlukannya.

Kesebelas: Jangan bertindak melakukan apa-apa tugas umum atau khusus melainkan setelah anda mengetahui hukum Allah SWT mengenainya.

Rujukan untuk amalan:
http://risalahmunajat.blogspot.com/


Petikan dan adaptasi:
TINTA & MINDA: Mengenai Islam, Ulama & Umara
Oleh: Ustaz Abdul Ghani Samsudin
http://mindaustaz.blogspot.com/

No comments: