Tuesday, July 1, 2008

TUNTUTAN KALIMAH TAUHID

TUNTUTAN KALIMAH TAUHID (LA ILAHA ILLALLAH)
Sabda Rasulullah s.a.w:

إن الله تعالى قد حرم على النار من قال: "لا إله إلا الله"، يبتغي بذلك وجه الله
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala mengharamkan neraka kepada sesiapa yang menyebut: “Tiada tuhan melainkan Allah” dengan tujuan meraih keredhaan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Itban bin Malik, dinilai Sahih)


Penerangan Hadis:
Pengertian kalimah Lailahaillallah yang luas ini mencakupi segala tuntutan kehidupan dan ia juga merangkumi segenap aspek. Berikut digariskan rumusan ringkas pelbagai tuntutan dalam hidup seorang muslim yang berhubung rapat dengan kalimah ini, sepertimana yang dinyatakan oleh Muhammad Qutb:

1) Tuntutan Keimanan.

Ia menyentuh perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis:

هذا جبريل أتاكم يعلمك دينكم، قال وما الإيمان ؟ قال أن تؤمن بالله وملائكته ، وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره..
Maksudnya: Inilah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kepada kamu agama kamu. Berkata Jibril: Apakah iman? Rasulullah bersabda: Bahawa kamu beriman dengan Allah, malaikatnya, kitab-kitabnya, Rasul-Rasulnya, hari akhirat dan takdir yang baik dan buruk. (Akhrajahu Ahmad)

Keimanan terhadap setiap elemen yang terkandung di dalam hadis ini mempunyai peranan dalam memenuhi tuntutan Lailahaillallah.

2) Tuntutan Ubudiyah


Setelah terbukti tiada Tuhan layak yang disembah melainkan Allah, maka memang wajarlah segala bentuk pengabdian hanya ditujukan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla dan ia merupakan perkara yang tabie dan boleh diterima akal.

Aqidah yang terpesong akan turut melibatkan ibadat juga turut terpesong Apabila aqidah terpasak kukuh maka sudah semestinya bentuk ibadat yang dilakukan menjadi sejajar dan seirama dengan tuntutan syara’.

Di dalam minhaj Rabbani setiap ibadat adalah untuk memenuhi tuntutan dunia dan akhirat, sama ada dengan syiar ibadat yang khusus ataupun aktiviti hidup yang rutin. Di dalam Islam tiada ibadat semata-mata untuk memenuhi tuntutan akhirat, sepertimana yang disangkakan oleh sebahagian manusia. Agama ini diturunkan untuk mengislah kehidupan manusia dan segenap bidang lain yang amat luas.

3) Tuntutan Perundangan


“La ilaha illah” bukan semata-mata aqidah bahkan ia bersangkut-paut dengan semua risalah samawi yang lain dalam mengatur dan menjamin kesempurnaan hidup.

Permasalahan tashyrie’ (perundangan) adalah masalah yang berhubung secara langsung dengan soal Uluhiyyah. Perkara ini berlandaskan kepada dua sebab:

Soal perundangan adalah hak Allah semata-mata kerana Dia-lah yang Maha Pencipta.

Sifat Allah yang Maha Pencipta (Al-Khaliq) , Maha Halus (Al-Latif), Maha Mengenal (Al-Khabir), Maha Bijaksana (Al-Hakim) dan Maha Mengetahui (Al-A`lim).

4) Tuntutan Akhlak


Akhlak mempunyai kaitan dengan aqidah kerana Rasulullah SAW bersabda:
أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه خصلة منهن كانت فيه خصلة من النفاق حتى يدعها: إذا حدث كذب وعاهد غدر وعد أخلف وإذا خاصم فجر
Maksudnya: Empat perkara jika ada pada seseorang, ia adalah munafiq. Sesiapa yang ada satu perkara darinya, maka bererti terdapat padanya satu unsur nifaq sehinggalah ia meninggalkannya: Apabila ia bercakap ia berdusta, apabila diamanahkan ia mengkhianati, apabila berjanji ia menyalahi, apabila bertelingkah ia berbecah-belah. (Dikeluarkan Oleh Muslim)

Nifaq juga adalah suatu masalah yang bersangkutan dengan aqidah. Penipuan, pengkhianatan, mungkir janji, berpecah-belah setelah berlaku pertelingkahan adalah permasalahan akhlak...(Rasulullah SAW menjelaskan bahawa berlakunya kepincangan pada masalah akhlak. membabitkan soal nifaq. Berlakunya nifaq bererti mencabul perjanjian dengan Allah di bawah kalimah La ilaha illallah).

Apabila kita merenung wasiat Luqman tentang, bagaimanakah seorang itu boleh berbakti (mensyukuri) kepada ibu dan bapanya, tidak dapat tidak ia perlu kembali kepada kepada perjanjian yang pernah termeterai dengan Allah ‘Azza Wa Jalla iaitu untuk “dengar” dan “taat” kepada-Nya, selepas itu barulah terbentuknya setiap hubungan yang ditautkan dengan akhlak....

5) Tuntutan Pemikiran


Individu muslim mempunyai keunikan gagasan minda yang tersendiri dalam membuat penilaian dan ukuran yang terpancar dari Al-Quran dan As-Sunnah. Seorang itu telah mempertuhankan akalnya apabila ia lebih mengutamakannya dalam membuat pertimbangan tersebut. Sedangkan penggantungan pada akal secara mutlak bercanggah dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Cakupan minda muslim tidak terbatas pada perkara maddiy (zahir) sahaja, bahkan menjangkau jauh pada perkara ma’nawi. Ia menggarap segala yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat. Perkara ini memberi kesan dalam hubungan antara individu. Hubungannya tidak terjalin di atas landasan kebendaan semata-mata tetapi lebih meluas mencakupi perkara “maknawi”.

Sikap terbuka dan rasional adalah suatu tuntutan, tetapi hendaklah dalam ruang lingkup izzah (kemuliaan) yang didasarkan atas prinsip keimanan dan keistimewaan yang dibina oleh prinsip Islam pada pemikiran mukmin.

Perkara yang diperlukan oleh manusia ialah ilmu yang mencerminkan keimanan dan dunia yang berasaskan iman. Inilah prinsip Islam yang terkandung di sini dan sebagai tuntutan Pemikiran bagi kalimah Lailahaillallah.

6) Tuntutan Membina Tamaddun Dan Peradaban


Banyak ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara ini, antaranya ialah:
هو الذي جعل لكم الأرض ذلولا فامشوا في مناكبها وكلوا من رزقه وإليه النشور
Maksudnya: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya). (Al-Mulk: 15)

Disebut dalam ayat di atas “dibangkitkan hidup semula” iaitu perkara yang berhubung dengan hisab dan pembalasan di hari akhirat, manakala ayat: “maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah” adalah suatu peringatan bahawa perlunya iltizam dengan minhaj Rabbani; iaitu akur dengan garis sempadan halal dan haram, harus dan tidak harus, yang membawa erti iltizam dengan segala apa jua yang datang dari Allah. Inilah dia tuntutan Lailahaillallah.

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
وابتغ فيمآ آتاك الله الدار الآخرة ولا تنس نصيبك من الدنيا وأحسن كمآ أحسن الله إليك ولا تبغ الفساد في الأرض إن الله لا يحب المفسدين
Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harga kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (Al-Qasas: 77)

Sentiasa mengingati akhirat dalam operasi mengeksploitasi segala khazanah alam, merekacipta, memper indahkan alam buana disamping iltizam dengan segala prinsip agama yang menjamin keselamatan insan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah sahaja yang dapat merealisasikan matlamat hidup manusia dan membentuk tamaddun yang sebenar. Pem bangunan adalah suatu perkara yang dituntut dan suatu kemestian, tetapi ia hendaklah dibina di atas minhaj Rabbani.

7) Tuntutan Seni Penyampaian (Penyair, Penyajak Dan Lain-lain).
قل وروح القدس معك
Maksudnya: Ungkapkanlah! (Wahai Hassan ibn Thabit) Ruhul Quds (Jibril) ada bersama kamu (membantumu).

Demikianlah arahan Rasulullah SAW kepada Hassan ibn Thabit RA ketikamana beliau mengungkap syairnya. Jelas di sini bahawa Rasulullah telah menggalakkan bahkan mendesak Hassan ibn Thabit meneruskan bacaan syairnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa ia merupakan suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Adalah menjadi suatu kewajipan kepada siapa yang berbakat dalam bidang seni penyampaian agar menggunakan kesempatan ini untuk berdakwah melalui keseniannya yang unik tersebut. Namun ia hanya fardhu kifayah. Apabila ia telah dilaksanakan oleh sebahagian manusia maka gugurlah kefardhuannya ke atas sebahagian yang lain. Justeru itu kepada mereka yang lain, yang memiliki bakat tersendiri, perlulah menumpukan perhatiannya kepada matlamat dan objektif seninya sendiri.

Adalah menjadi fardhu ain kepada mereka yang memiliki bakat yang tersendiri dalam bidang penyampaian dan pengungkapan, supaya iltizam dalam aktivitinya mengikut landasan tatasusila Islam. Inilah tuntutan seniman bagi kalimah La ilaha illallah.

Seniman di zaman jahiliyyah melaungkan slogan “Seni untuk seni”. Seniman muslim mengangkat kemuliaan manusia kepada kemuliaan yang selayaknya dengan martabat insan itu sendiri. Pada hari ini para seniman tidak lagi menerima slogan tersebut, tetapi mereka cuba melaungkan slogan “Seni untuk kehidupan”. Tetapi kehidupan bagaimanakah yang dimaksudkan oleh mereka. Siapakah yang meletakkan ukuran dan menentukan prinsip pada kehidupan?

Matlamat hakiki bagi ‘Seniman Islam’ ialah ubudiyyah kepada Allah dengan ertikata yang luas, mencakupi peranan menta`mir muka bumi dengan minhaj rabbaniy.

Secara umum media merupakan salah satu medan meluahkan bakat kesenian yang mempunyai matlamat yang pelbagai, manakala media Islam mempunyai misi yang tersendiri. Media Islam bukan keseluruhannya semata-mata nasihat dan pengajian agama, tetapi ia adalah salah satu juzuk yang tidak terpisah dari berperanan untuk mengingatkan kita kepada Allah dan hari akhirat.

Tujuan utama media Islam secara ringkas ialah:

• Memperkenalkan hakikat agama.
• Mendedahkan perancangan musuh Islam.
• Mengemukakan pandangan Islam terhadap isu-isu semasa.
• Mengingatkan manusia tentang misi kehidupan mereka yang sebenar.

Tiga tuntutan pertama iaitulah tuntutan iman, tuntutan ibadat dan tuntutan tasyrie’; jika ia tidak wujud dalam diri seseorang maka ternafilah imannya. Tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut atau salah satu darinya, boleh membawa kepada syirik, sama ada: Syirik i’tiqad, syirik ibadat dan syirik tasyrie’. Ketiga-tiganya adalah syirik besar yang tidak diampunkan Tuhan, melainkan dengan kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.

Adapun tuntutan-tuntutan yang lain, kecuaian dalam melaksanakan tuntutan tersebut atau langsung tidak melaksanakannya tidak membatalkan iman, tetapi menjadikan iman seseorang itu tidak sempurna dan ia adalah berdosa.


(Ringkasan dari La ilaha illallah Aqidah Syariah Wa Minhaj Hayah: Muhammad Qutb: ms 43-119)

Memandangkan kepentingan tuntutan kalimah ini Rasulullah s.a.w bersabda:
جددوا إيمانكم ، أكثروا من قول "لا إله إلا الله"
Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Perbanyakkanlkanlah menyebut kalimah La ilaha illah.”

Kata al-Munawi: Melazimi menyebut kalimah ini secara berterusan boleh memperbaharui iman di hati, di samping memenuhkannya dengan cahaya dan menambahkan keyakinan, serta mendedahkan kepada pelbagai perkara tersirat yang tidak dapat diketahui melainkan golongan bijaksana. Tiada siapa yang menafikan perkara tersebut melainkan mulhid yang derhaka. (Faidhul Qadir).




Adaptasi dari buku: Hikmah di Sebalik Wasiat Luqman al-Hakim
http://karyahasan.blogspot.com/2008/03/hikmah-di-sebalik-wasiat-luqman.html

No comments: