Tuesday, June 10, 2008

ANTARA MENGULANGI TAUBAT DAN MENGULANGI KESALAHAN

Meninggalkan dosa dan maksiat adalah satu usaha atau jihad menahan diri dari kemaksiatan yang dilakukan demi sentiasa tetap dalam ketaatan. Justeru usaha menahan diri ini adalah perjuangan nafsu dan badan yang meletakkan diri dalam fi sabilillah. Ini adalah selaras dengan Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” (al-Angkabut, 29: 69).

Imam al-Ghazali telah membahagikan tingkatan taubat kepada tiga peringkat iaitu:

1- Taubat orang awam: Iaitu taubat yang dilakukan terhadap dosa-dosa yang lahir dan nyata. Misalnya, berzina, mencuri membunuh orang dan lain-lain.

2- Taubat yang khusus: Iaitu taubat yang dilakukan kerana dosa-dosa batin. Misalnya, dengki, takabbur (besar diri), ujub dan lain-lain.

3- Taubat yang lebih khusus: Iaitu taubat dari kelekaan dan kelalaian mengingati Allah SWT. Taubat yang demikian itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith:

وَاللهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبٌ إِلِيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِيْنَ مَرَّةٍ
“Demi Allah sesungguhnya saya memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadanya lebih dari tujuh puluh kali pada setiap hari.” (Riwayat al-Bukhari).

Berhubung dengan meninggalkan dosa-dosa yang zahir dan batin, Allah SWT berfirman:
4
“Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.” (al-An‘ am, 6: 120).

Mengenai kelekaan dan kelalaian daripada mengingati Allah SWT, terdapat di dalam al-Quran ayat yang berbunyi:

“...dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab, 33: 35)

Rasulullah SAW juga bersabda:

‏أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُـونَةٌ، مَلْعُـونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Sememangnya dunia itu dilaknat. Segala yang didalamnya adalah dilaknat melainkan zikrullah dan apa yang disukai Allah, juga orang yang berpengetahuan dan orang yang belajar.”

Allah SWT berfirman:



[3.133] Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

[3.134] Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

[3.135] Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

[3.136] Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

[Ali ‘Imran, 3: 133-136]

Ini juga sejajar dengan tuntutan Allah SWT dalam banyak ayat supaya bersegera melakukan amal akhirat, antaranya:

(yang bermaksud): “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan.” (al-Hadid, 57: 21).

(yang bermaksud): “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.” (al-Baqarah, 2: 148).

(yang bermaksud): “Maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah.” (al-Jumu‘ah, 62: 9).

(yang bermaksud): “Dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.” (al-Mutaffifin, 83: 26).

Adapun berhubung kerja duniawi, Allah SWT menyebutnya sebagai ingatan dengan cara bersahaja. Ini seperti:

(yang bermaksud): “Maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya.” (al-Mulk, 67: 15).

(yang bermaksud): “Dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi.” (al-Muzzammil, 73: 20).

Orang-orang yang melakukan perbuatan keji iaitu dosa. Yang mana bahayanya mengena pada orang lain seperti zina, riba, mencuri, mengumpat dan sebagainya. Boleh jadi juga mereka menzalimi diri sendiri. Yakni melakukan dosa. Yang mana bahayanya hanya terbatas pada diri sendiri seperti minum arak dan sebagainya. Lantas mereka mengingat janji Allah dan ancaman Allah, juga keagunganNya. Lalu mereka kembali beristighfar daripada dosa-dosa di samping meminta rahmat Allah.

Dalam pada itu, dimaklumi bahawa tiada yang mengampun dosa melainkan Allah. Antara kelebihan, ihsan dan kemuliaanNya ialah Dia mengampunkan orang yang berbuat salah. Dia melepaskan orang yang berdosa sekalipun melakukan dosa besar yang bukan syirik. Firman Allah SWT:

(yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.” (al-Nisa’, 4: 48).

Juga firmanNya:

(yang bermaksud): “Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu.” (al-A‘raf, 7: 156).

Syarat penerimaan taubat: Tidak meneruskan perbuatan dosa. Ini sejajar dengan firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Ali ‘Imran, 3: 135). Yakni mereka bertaubat daripada dosa-dosa mereka. Mereka kembali kepada Allah dengan segera. Mereka tidak berterusan melakukan maksiat dan tidak berdegil untuk meninggalkannya. Seandainya mereka mengulangi dosa, mereka bertaubat daripadanya.

Mengulangi taubat selepas mengulangi kesalahan bukanlah bererti seseorang itu boleh mengulangi kesalahan kerana berpeluang mengulangi taubat. Tetapi taubat adalah dituntut selepas setiap kali seseorang itu melakukan kesalahan. Meskipun ia melakukan kesalahan itu berkali-kali.

Ini sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz Abu Ya‘la di dalam Musnadnya, begitu juga dengan Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Bazzar di dalam Musnadnya, mereka meriwayatkan daripada Abu Bakar r.‘a katanya: Sabda Rasulullah s.‘a.w:

مَا أَصَرَّ مَنِ اسْتَغْفَرَ ، وَإِنْ عَادَ فِي الْيَوْمِ سَبْعِيْنَ مَرَّةٍ
“Orang yang beristighfar, bukanlah orang yang berterusan melakukan dosa, sekalipun ia mengulanginya 70 kali sehari.”

Lantaran mengetahui bahawa perkara yang mereka lakukan adalah maksiat disamping mengingatnya, mereka bertaubat. Sesiapa yang bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

(yang bermaksud): “Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya.” (al-Taubah, 9: 104).

Juga firman Allah SWT:

(yang bermaksud): “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa’, 4: 110).

Orang-orang bertaqwa yang digambarkan sifat mereka di dalam firman Allah SWT sebelum ini, mendapat balasan keampunan dosa daripada Allah. Mereka diselamatkan daripada balasan azab malah mendapat ganjaran besar di sisi Allah. Ia berupa syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, iaitu perlbagai jenis minuman. Mereka kekal berada di sana dan mendiami tempat itu. Sememangnya balasan untuk amalan soleh ialah syurga. Allah SWT berhak memuji sifat-sifat syurga. Terdapat di dalamnya nikmat yag abadi secara mutlak, tidak pernah mata melihatnya, telinga mendengarnya dan terlintas di hati manusia.

Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya (yang bermaksud): “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji...” (Ali ‘Imran, 3: 135). Mereka ini dinaungi rahmat dan anugerah Allah. Mereka ialah golongan yang bertaubat. Imam al-Tirmizi menukilkan sebuah hadis dengan menilainya sebagai Hasan; Abu Daud al-Tayalisiy menukilkan di dalam Musnadnya daripada Ali bin Abi Talib r.‘a katanya: Abu Bakar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيَتَوَضَّأُ ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ أَوْ أَرْبَعًا مَفْرُوْضَةً أَوْ غَيْرَ مَفْرُوْضَةً ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللهَ إِلاَّ غَفَرَ اللهُ لَهُ
“Tiada mana-mana hamba yang melakukan dosa, lalu ia berwudhuk dan bersolat dua rakaat kemudian ia beristighfar kepada Allah melainkan Allah mengampunkannya.”

Kemudian Baginda membaca firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka ...” (Ali ‘Imran, 3: 110).

Perkataan al-Fahisyah digunakan untuk semua jenis maksiat. Begitupun ia banyak digunakan secara khusus dengan makna zina sepertimana yang ditafsirkan oleh Jabir bin Abdillah dan al-Suddiy. Ingat kepada Allah bererti: Merasa takut kepada azab daripada Allah dan merasa takut kepadaNya, di samping mengingat saat hisab amalan di hadapan Allah, juga memikirkan tentang bahawa Allah menyoal tentang dosa.

Firman Allah SWT: “Dan mereka juga tidak meneruskan ...” (Ali ‘Imran, 3: 135); menunjukkan bahawa insan adalah bersalah jika ia menetapkan di dalam hatinya dan berazam untuk melakukan maksiat. Ini juga menunjukkan bahawa keinginan di dalam diri untuk melakukan maksiat adalah menjadi kesalahan jika ia dijadi sebagai keputusan. Sabda Rasulullah s.‘a.w di dalam hadis Sahih:

مَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا لَمْ تُكْتَبْ عَلَيْهِ ، فَإِنْ عَمِلَهَا كُتِبَتْ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
“Sesiapa yang merasa ingin untuk melakukan kejahatan, kemudian ia tidak melakukannya, perkara itu tidak dicatat. Jika ia melakukannya, dicatat satu kesalahan.”

Yakni, orang tersebut tidak berazam untuk melakukannya. Sekiranya ia menzahirkannya dengan tindakan atau berazam untuk melaksanakannya, ia akan dikenakan balasan azab. Allah SWT berfirman:

(yang bermaksud): “Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (al-Hajj, 22: 25). Yakni dikenakan balasan azab sebelum mereka melaksanakan azam tersebut.

Berisitighfar adalah suatu perkara penting dan ganjarannya amat besar. Waktunya adalah pada waktu tengah malam. Al-Tirmizi mengemukakan riwayat daripada daripada Nabi s.‘a.w bahawa Baginda bersabda:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ ، وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ ، غُفِرَ لَهُ ، وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ
“Sesiapa yang mengatakan: “Aku memohon ampun daripada Allah yang tiada tuhan melain Dialah yang maha hidup dan maha mentadbir dengan sendiri, dan aku juga bertaubat kepadaNya.” Ia pasti diampunkan sekalipun ia telah lari dari medan perang.”

Makhul meriwayatkan daripada Abu Hurairah: Aku tidak melihat sesiapa yang lain yang lebih banyak beristighfar selain Rasulullah s.‘a.w. Menurut para ulama mazhab Maliki:

Istighfar yang dituntut ialah menghentikan kemahuan melakukan maksiat secara berterusan. Ia dibuktikan dengan anggota, bukanlah dengan lafaz di lisan. Manakala orang yang beristighfar kepada Allah sedang hatinya masih ingin meneruskan maksiat, istighfar pada ketika itu perlu dikuti dengan istighfar yang lain. Dosa kecilnya bertambah besar.

Kata Hasan al-Basri:

Istighfar kita perlu diikuti dengan istighfar yang lain.

Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa maksiat dan menghindarkan balasannya melainkan Allah SWT.

Pendorong untuk bertaubat dan menyekat kemahuan meneruskan perbuatan maksiat ialah: merenung kitab Allah SWT, termasuk segala yang dinyatakan mengenai syurga, janji untuk golongan taat, gambaran tentang azab neraka, dan ancaman terhadap golongan derhaka. Ia mestilah dilakukan secara berterusan sehingga mantap lalu bangkit rasa takut dan harapannya menjadi subur. Lantas ia berdoa kepada Allah dengan penuh harapan (raghbah) dan rasa gerun (rahbah). Raghbah dan rahbah adalah hasil daripada rasa takut dan harapan; takut daripada balasan dan mengharap ganjaran.

Taubat yang dilakukan selepas ia dibatalkan dengan mengulangi dosa adalah sah. Ini kerana taubat yang pertama adalah suatu ketaatan. Ia telahpun dilakukan dan sah. Apabila dilakukan dosa kali kedua, ia perlu memulakan taubat yang lain. Perbuatan mengulangi dosa, lebih buruk daripada memulakannya kerana ia menambah pembatalan taubat dengan perlakuan dosa. Begitupun, mengulangi taubat adalah lebih baik daripada memulakannya. Ini kerana ia menambah kesungguhan mendampingi Allah yang Maha Mulia. Hanyasanya Dialah yang mengampunkan dosa tiada yang lain. Dalilnya, riwayat yang dikemukakan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah r.‘a katanya: Nabi s.‘a.w bersabda bahawa Allah SWT menyampaikan kepadanya:

أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا ؛ فَقَالَ: اللَّهُمَّ! اغْفِرْ لِي ذَنْبِي ؛ فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا ، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ، وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ، ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ ؛ فَقَالَ: أَيْ رَبِّ! اغْفِرْ لِي ذَنْبِي ؛ فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ، وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ، ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ ؛ فَقَالَ: أَيْ رَبِّ! اغْفِرْ لِي ذَنْبِـي ؛ فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا ، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ، وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ؛ اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ
“Seorang hamba telah melakukan suatu dosa. Lalu ia mengatakan: “Ya Allah, ampunkanlah dosa ku.” Lalu Allah SWT mengatakan: “Hambaku telah melakukan suatu dosa, lalu ia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang mengampunkan dosa. Kemudian ia mengulangi dosa lagi, lalu ia kembali bertaubat, ia berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku.” Lalu Allah SWT mengatakan: “Hambaku telah melakukan suatu dosa, lalu ia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang mengampunkan dosa. Kemudian ia mengulangi dosa lagi, lalu ia kembali bertaubat, ia berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku.” Lalu Allah SWT mengatakan: “Hambaku telah melakukan suatu dosa, lalu ia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang mengampunkan dosa. Lakukanlah apa sahaja sesungguhnya aku telah ampunkan kamu.”

Erti ungkapan yang terakhir ini ialah sebagai memuliakan. Ia adalah seperti firman Allah SWT:

(yang bermaksud): “(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman.” (al-Hijr, 15: 46).

Ayat berkenaan dan hadis di atas menunjukkan faedah besar pengakuan melakukan dosa dan bertaubat daripadanya. Al-Bukhari dan Muslim mengemukakan riwayat bahawa sabda Rasulullah s.‘a.w:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ، ثُمَّ تَابَ إِلَى اللهِ ، تَابَ اللهُ عَلَيْهِ
“Sesungguhnya apabila seseorang hamba mengaku melakukan dosa kemudian bertaubat kepada Allah, pasti Allah menerima taubatnya.”

Di dalam sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُـوْا ، لَذَهَبَ اللهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبـُوْنَ وَيَسْتَغْفِرُوْنَ ، فَيَغْفِرُلَهُمْ
“Demi yang diriku di genggamannyaNya, jika kamu tidak berdosa, nescaya Allah melenyapkan kamu, kemudian Dia datangkan golongan lain yang melakukan dosa dan bertaubat. Lalu dia menerima taubat mereka.”

Inilah faedah nama Allah SWT: Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat.

Sabda Rasulullah SAW kepada Abu Dzar RA ketika baginda menyampaikan wasiat yang agung kepadanya:

‏اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
“Bertakwalah di manapun engkau berada, dan ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya ia akan menghapusnya, dan bergaullah manusia dengan akhlak yang baik.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi dari Abu Dzar).
Pengertian hadith ini ialah jika seorang muslim melakukan maksiat, ia hendaklah segera menyusulinya dengan kebaikan. Contohnya melakukan sembahyang, sedekah, puasa, kebajikan, istighfar, zikir, tasbih dan lain-lain. Firman Allah SWT:

“Mereka mengakui dosa-dosa mereka. Mereka juga telah mencampur-adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Taubah, 9: 102).





FirmanNya lagi:



“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Hud, 11: 114).

Ibn Arabi berkata: Kebaikan akan menghapus keburukan sama ada yang dilakukan lebih awal maupun yang kemudian. Kebaikan yang dilakukan selepas keburukan itu adalah lebih baik. Ini kerana perbuatan tersebut lahir dari hati yang terpaut dengan perbuatan yang dilakukan sebelumnya. Kebaikan tersebut dilakukan dengan hati yang jernih dan penuh kerelaan.
Artikel dalam format pdf:
http://www.geocities.com/jailur_rashied/Ulang_taubat.pdf


Sumber:
- Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaily. (http://www.zuhayli.com/)
- Risalah Taubat, Intel Multimedia and Publication.

No comments: