Kelemahan yang ada pada manusia bukanlah menjadi sebab untuk
manusia melanggar perintah Allah. Sekalipun Allah menjadikan manusia lemah
tetapi Allah menjadikannya dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan telah
memuliakannya. Segala apa yang Allah tetapkan adalah untuk kebahagian manusia.
Apabila manusia melanggar ketetapan itu, ia akan terjerumus kepada kebinasaan
dan kecelakaan. Apabila manusia ditetapkan mesti menghirup udara oksigen dan
meminum air, maka tanpanya ia pasti akan binasa. Apabila Allah menetapkan
hukum-hakamNya, maka pastilah ia adalah suatu keperluan dan kemestian serta
berada dalam batas kemampuan manusia untuk melakukannya.
Jika manusia memilih
hukum-hakam selain yang ditetapkan Allah, maka bererti ia telah memilih jalan
kebinasaan. Ini kerana, Allah tidak sesekali menetapkan hukum-hakam yang di
luar kemampuan manusia.
Oleh yang demikian, tidak wajar seseorang memilih
selain hukum-hakam dan budaya hidup Islam yang ditetapkan Allah dengan alasan
untuk mencapai suatu hasrat murni. Ini kerana Allah lebih mengetahui tentang
hasrat seseorang manusia dan lebih menyayanginya daripada seseorang itu
mengasihi dirinya sendiri.
Justeru apakah kita merasakan Allah tidak cukup
sayang kepada kita sehingga sanggup meronta-ronta ingin melepaskan diri
daripada dakapan kasih-sayang Allah!!! Adakah kita tidak bersetuju dengan
ketetapan dan pilihan Allah, sedangkan Dialah yang menjadikan kita. Wajarkah
seseorang mengaku sebagai muslim, tetapi tidak mahu berserah untuk menerima
suatu hukum Islam?!
Al-Syahid Saiyid Qutb menyebut dalam Afrah Ruh: http://karyahasan.blogspot.com/2012/06/rintihan-kalbu.html