Friday, October 30, 2009

Menongkah Arus Dunia Dengan Kemudi Ukhrawi

Sifat-sifat individu muslim memperlihatkan dan menunjukkan perasaan hormat kepada semua orang-orang Islam. Ia juga mesti mengetahui kelemahan, keburukan, kekurangan diri dan penyakit rohani dan kecenderungan dirinya. Namun syaitan telah menggoda manusia dalam urusan dunia, jiwa dan nafsu sehingga menyebabkan manusia melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diredhai Allah SWT. Manusia juga terjebak melakukan perbuatan-perbuatan tersebut dengan dorongan dari dalam jiwanya sendiri, umpamanya untuk mencapai satu tujuan kebendaan dan urusan dunia.

Kini manusia menfokuskan perhatian kepada fahaman-fahaman yang aneh dan ungkapan-ungkapan ideologi yang mengkaburkan pemahaman. Mereka mendengarkan pernyataan sejarah yang menganggap manusia hanyalah sebagai modal utama perekonomian di tengah-tengah dunia global. Jika satu saat mereka merasa lemah atau ingin memperoleh keuntungan yang bersifat kebendaan, maka ditempuhlah dengan perbagai cara tanpa mengendahkan hukum syarak, umpamanya dengan cara menindas orang, berhasad-dengki, mengumpat, menghasut dan membuat kerosakan sekalipun.

Faktor yang dapat membendung kemelut seperti ini ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik. Sementara punca penularannya ialah nafsu dan syahwat. Hal ini adalah sebagaimana yang disabdakan nabi s.‘a.w mengenai perkara yang banyak membawa manusia ke syurga dan perkara yang banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: Nabi s.‘a.w ditanya: Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan manusia masuk syurga? Jawab baginda: Taqwa dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi: “Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan manusia masuk neraka?” Baginda menjawab: “Dua rongga iaitu mulut dan faraj.” (Sunan Ibn Majah).

Tindakan Penyelesaian:

1) Menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah:

“Wahai anak Adam tumpukanlah untuk beribadat kepadaku, pasti Aku akan penuhkan dadamu dengan kekayaan, aku lenyapkan kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukan demikian pasti aku penuhkan dada kamu dengan kesibukan dan aku tidak lenyapkan kefakiran kamu.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah).

2) Membataskan keinginan:


“Sesiapa yang meletakkan keinginannya hanya satu (semata-mata untuk akhiratnya), pasti Allah memberikan kecukupan pada keinginan dunianya. Sesiapa yang keinginannya bercabang-cabang (dalam hal ehwal dunia), Allah tidak mempedulikannya di lembah dunia mana sekalipun ia binasa.” (Diriwayatkan daripada Ibn Umar di dalam Syu‘ab al-Iman).

3) Tidak menjadikan dunia sebagai keinginan yang utama:

"Hindarkanlah sepenuhnya dari keinginan terhadap dunia sedaya-upaya kamu. Sesiapa yang keinginan dunianya lebih besar, pasti Allah membebankan tanggungjawabnya dan mendedahkannya kepada kemiskinan. Sesiapa yang keinganan akhiratnya lebih besar, pasti Allah memperkemaskan urusannya dan memberikan kekayaan di hatinya. Tidak seseorang hamba mendampingi Allah dengan hatinya melainkan Allah menjadikan hati orang-orang beriman cenderung kepadanya dengan kemesraan dan kasih-sayang, di samping itu Allah segera memberikan segala kebaikan kepadanya." (Sabda Rasulullah s.‘a.w diriwayatkan daripada Abu Darda’ di dalam Mu‘jam al-Tabarani)



4) Membersihkan jiwa dengan berserah kepada Allah SWT. Nabi s.‘a.w. berdoa:


"Wahai Tuhanku, berikanlah taqwa kepada jiwaku dan bersihkannya kerana Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya, Engkaulah penguasanya dan Engkaulah penaungnya." (Diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad daripada ‘Aisyah katanya: Aku mendapati Nabi s.‘a.w. tiada di tempat tidurnya. Kemudian ‘Aisyah menyentuh baginda dengan tangannya dan mendapati baginda sednag bersujud sambil berkata: “Doa di atas.”).

5) Meningkatkan kecintaan kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. Nabi s.‘a.w. berdoa:


"Wahai Tuhanku, aku pohon daripadaMu kasihMu, dan kasih mereka yang kasihkanMu, dan aku pohon amalan yang boleh menyampaikanku kepada kasihMu. Wahai Tuhanku, jadikan kasihMu lebih dicintaiku daripada diriku, daripada keluargaku dan daripada air yang dingin." (Diriwayatkan daripada Abu Darda’ di dalam Sunan al-Tirmizi bahawa sabda Rasulullah s.‘a.w: Antara doa Nabi Daud a.s. ialah: “Doa di atas.”)

6) Segala perkara yang disukai dan tidak disukai digunakan untuk kecintaan kepada Allah SWT. Nabi s.‘a.w. berdoa:


Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku kasihMu dan kasih-sayang yang berguna kepadaku kasihnya di sisiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang telah Engkau kurniakan kepadaku maka jadikannya tenaga kekuatan bagiku untuk melaksanakan amalan-amalan yang disukaiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang Engkau jauhkan dariku maka jadikanlah kekosongan itu untuk aku melaksanakan amalan yang disukaiMu. (Diriwayatkan daripada Abdullah bin Yazid al-Khatmi al-Ansari di dalam Sunan al-Tirmizi bahawa Rasulullah s.‘a.w mengatakan di dalam doanya: “Doa di atas.”).

7) Menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran, memelihara diri sendiri ketika kepincangan berleluasa, dan juga bersabar.


"Hendaklah kamu menyuruh kepada makruf dan menegah kemungkaran sehinggalah kamu melihat orang yang bakhil ditaati, hawa nafsu diikuti, dunia lebih diutamakan, orang yang pandai merasa takjub dengan pandangannya sendiri. Saat itu hendaklah kamu memelihara dirimu sendiri dan biarkanlah orang lain (berusaha agar tidak terbabit dengan empat perkara yang membinasakan yang disebutkan). Ini kerana selepas kamu akan berlaku zaman di mana orang yang bersabar seperti orang yang menggenggam bara. Bagi orang yang beramal di kalangan mereka akan mendapat pahala lima puluh orang dan mereka beramal sebagaimana amalan kamu.” (Sabda Rasulullah s.‘a.w. di dalam Sunan al-Tirmizi).

8) Menghindari daripada fitnah (perselisihan dan perpecahan):

“Kelak akan berlaku fitnah, orang yang duduk pada waktu itu lebih baik daripada orang orang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang berjalan, orang yang berjalan lebih baik daripada orang berlari-lari. Sesiapa yang mencari-carinya ia akan terjerat dan sesiapa yang mendapat tempat berlindung atau berteduh, hendaklah ia berlindung dengannya.” (Sabda Rasulullah s.‘a.w. diriwayatkan daripada Abu Hurairah di dalam Sahih al-Bukhari).

Friday, February 27, 2009

10 Profil Peribadi Muslim

10 Profil Peribadi Muslim


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Ali ‘Imran: 10).

Umat Islam hari ini perlu mengembalikan ciri-ciri sebagai umat terbaik. Namun ia tidak akan tercapai melainkan setiap individu umat memiliki ciri-ciri yang terbaik. Oleh itu, mereka mestilah memiliki peribadi muslim yang dituntut oleh Al-Quran dan sunnah. Ia merupakan peribadi yang soleh, sikap, ucapan dan tindakannya terpancar nilai-nilai yang datang dari Allah SWT.

Peribadi muslim bukanlah tercermin pada orang yang hanya rajin menjalankan Islam dari aspek ibadat khusus, padahal itu hanyalah salah satu aspek yang harus ada pada peribadi seorang muslim. Oleh karena itu piawai peribadi muslim yang berdasarkan Al-Quran dan sunnah merupakan sesuatu yang wajib dirumuskan, sehingga menjadi acuan bagi pembentukan peribadi muslim.

Sekurang-kurangnya terdapat sepuluh profil atau ciri khas yang mesti ada pada peribadi seseorang muslim. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Hasan Al-Banna:

§ kekuatan jasmani,

§ akhlak yang mantap,

§ fikiran berteraskan ilmu pengetahuan,

§ mampu berdikari,

§ aqidah yang sejahtera,

§ ibadah yang betul,

§ berjuang melawan nafsu,

§ menjaga masa,

§ mengatur urusan diri,

§ berguna untuk orang lain.


1) Aqidah yang sejahtera.

Aqidah muslim yang sejahtera adalah berpaksikan firman Allah SWT (yang bermaksud): “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali.” (Al-Baqarah: 285).

Juga mempraktikkan jawapan Rasulullah SAW kepada Jibril ketika baginda ditanya: “Apakah iman?” Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab yang diturunkan Allah, rasul-rasulNya, hari akhirat, dan ketetapan (takdir Allah) yang baik dan buruk.” (Riwayat Muslim).

Perlaksanaan perkara ini ditonjolkan dalam kelakuan dan perbuatan serta pendirian mengesakan Allah dalam setiap keadaan. Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah Allah, nescaya Dia memelihara kamu. Apabilan kamu meminta mintalah daripada Allah. Ketahuilah perkara yang terlepas daripada kamu bukanlah ditetapkan untuk menimpa kamu, dan perkara yang menimpa kamu bukanlah ditetapkan ia terlepas daripada kamu.” (Riwayat Muslim).

2) Ibadah yang betul.

Ibadah yang betul adalah berpaksikan firman Allah SWT (yang bermaksud): “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Al-Zariyat: 56). Ibadat hendaklah meliputi segenap perkara yang baik dan berkebajikan selagi mana terdapat niat yang ikhlas, benar dan jitu, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An‘am, 162).

Justeru ibadah merangkumi dua tonggak asas:

a) Amal ibadat yang bertepatan dengan syariat Allah.

b) Niat yang ikhlas ditujukan kepaa Allah.

Berlandaskan dua perkara ini, setiap individu muslim melaraskan setiap perbuatan yang dilakukan sebagai ibadat yang tulus kepada Allah. Ia menjadikan adat dalam kehidupan sebagai ibadat berdasarkan ganjaran di sisi Allah SWT.

3) Akhlak yang mantap.

Akhlak yang mantap adalah berpaksikan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Riwayat Imam Ahmad). Ini kerana akhlak adalah hasil daripada aqidah yang sejahtera, ibadat yang betul dan berjuang melawan nafsu secara berterusan. Sabda Rasulullah SAW: “Takutilah Allah di mana sahaja anda berada. Ikutilah kejahatan dengan kebaikan untuk menghapuskannya, dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik. (Riwayat al-Tirmizi).

Seorang muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjaga kemurniaan akhlak yang melambangkan kebajikan, keimanan dan kebaikan dirinya. Ganjaran daripada penampilan tersebut boleh menghampirkan diri seseorang kepada Allah SWT dan mendampingi Rasulullah SAW di syurga. Imam Ahmad dan Ibn Hibban mengemukan riwayat daripada Ibn Umar bahawa sabda Rasulullah SAW: “Adakah kamu mahu aku beritahu tentang orang yang paling aku cintai dan paling dekat dengan pada hari qiamat?” Para Sahabat menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah: “Orang yang paling baik akhlaknya…” Juga sabda baginda: “Seseorang kamu yang berakhlak mulia dapat mencapai sesuatu yang tidak dicapai oleh orang yang berpuasa dan bersembahyang.”

Justeru akhlak adalah seruan yang terbaik kepada I slam. Prinsip Islam juga tersebar dan menjadi pasak yang kukuh di dalam masyarakat. Begitulah agama Islam tersebar melalui interaksi yang baik.

4) Fikiran berteraskan ilmu pengetahuan.

Fikiran berteraskan ilmu pengetahuan adalah berpaksikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq: 1-5).

Juga firman Allah SWT yang bermaksud: “(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia; Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.” (Al-Rahman: 1-5).

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang merentas jalan untuk menuntut ilmu, pasti Allah memudahkan laluannya untuk ke syurga.” (Riwayat dikemukakan oleh Muslim).

Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan aktiviti berfikir. Karenanya seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Dapat kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu.

Oleh karena itu Allah mempersoalkan kepada kita tentang tingkatan intelektual seseorang sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Al-Zumar :9).

5) Kekuatan jasmani.

Memiliki Kekuatan jasmani adalah berpaksikan sabda Rasulullah SAW: “'Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mumin yang lemah.” (Riwayat Muslim). Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimal dengan fizikalnya yang kuat. Sembahyang, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang shat atau kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya.

Oleh karena itu, kesihatan jasmani mestilah mendapat perhatian seorang muslim. Pencegahan dari penyakit adalah lebih utama daripada pengubatan. Sakit tetap terjadi tetapi janganlah seseorang mendedahkan diri kepada penyakit.

6) Mampu berdikari.

Menjadi orang yang mampu berdikari berpaksikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al-Mulk: 15). Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menikmati waktu petang dengan mendapat hasil usaha sendiri, pasti ia menikmati waktu petang itu dengan mendapat keampunan.” (Riwayat Al-Tabarani).

Memiliki kemampuan usaha sendiri merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya dapat dilaksanakan bilamana seseorang memiliki kekuasaan, terutama dari segi ekonomi.

Janganlah seseorang mengorbankan prinsip karena tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi. Seseorang muslim wajar memiliki kekayaan untuk menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh karena itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Quran dan hadis. Ia juga adalah suatu keutamaan.

Dalam kaitan menciptakan kekuasaan inilah seorang muslim amat dituntut memiliki melayakan dalam apa juga bidang yang baik. Ini supaya ia dapat meraih rezeki daripada Allah SWT. Ini kerana rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan digunakan. Untuk itu kebolehan dan kemahiran adalah diperlukan.

7) Mengatur urusan diri.

Mengatur urusan diri berpaksikan hadis Rasulullah SAW: “Baginda ditanya: Apakah amalan yang paling afdhal? Jawab Baginda: “Sembahyang pada waktunya, berbakti kepada ibubapa dan kemudian jihad jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari). Nabi SAW mengajar para Sahabat tentang feqh keutamaan supaya mereka dapat mengatur urusan hidup agama dan dunia mengikut tuntutan dalam kehidupan:

a) Kemestian (dhoruriyat): Tiada kehidupan tanpanya.

b) Kesempurnaan (kamaliyat): Perkara yang menyempurnakan kebaikan dalam hidup.

c) Penambahan (tahsiniyat): Perkara yang menambah kebaikan dan kenikmatan di dalam hidup.

Perkara kemestian patutlah diutamakan terlebih dahulu sebelum perkara kesempurnaan dan penambahan. Perkara wajib mestilah diutamakan daripada perkara sunat. Menutup jalan keburukan diutamakan daripada membuka jalan kebaikan.

Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional dalam segenap segi. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban, adanya penerusan dan berilmu pengetahuan merupakan antara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugas.

8) Menjaga masa.

Penjagaan masa adalah berpaksikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al-‘Araf: 34).

Waktu adalah kehidupan. Jika ia telah berlalu, ia tidak akan kembali. Setiap detik waktu mestilah digunakan untuk kebaikan dunia dan akhirat sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77).

Oleh karena itu setiap muslim amat dituntut untuk mengurus waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tanpa dipersia-siakan. Justeru antara perkara yang ditegaskan oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sehat sebelum sakit, muda sebelum tua, rehat sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.

9) Berjuang melawan nafsu.

Berjuang melawan nafsu melawan nafsu berpaksikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Al-Syams: 7-10).

Setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk memerlukan kesungguhan. Tujuan seseorang muslim berjuang melawan nafsu adalah untuk menewaskan:

a) Was-was syaitan.

b) Tipu-daya dunia.

c) Gelojak syahwat.

d) Buruan hawa nafsu.

Oleh karena itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia mestilah ditundukkan kepada ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam).” (Riwayat al-Hakim).

10) Berguna untuk orang lain.

Menjadi seorang berguna untuk orang lain berpaksikan kepada sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang paling disukai Allah SWT ialah orang yang berpaling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah SWT ialah memberikan kegembiraan kepada seorang muslim, melepaskan kesusahannya, melangsaikan hutangnya, atau menghilangkan rasa laparnya. Jika aku berjalan untuk menunaikan hajat saudaraku, lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid ini (masjid Madinah) selama sebulan. Sesiapa yang menghalang kemarahannya, Allah akan menutup keburukannya. Sesiapa yang menahan (menyembunyikan) rasa marah, dalam keadaan ia boleh melepaskannya, pasti Allah memenuhkan hatinya dengan keredhaan pada hari Qiamat. Sesiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk menunaikan suatu hajat sehinggalah ia dapat tunaikan untuk saudaranya, pasti Allah menetapkan kakinya pada hari kaki-kaki tergelincir (hari Qiamat).” (Riwayat al-Tabarani).

Tentulah yang dimaksudkan ialah manfaat yang baik sehingga di manapun seseorang berada, orang disekitarnya merasakan keberadaannya disebabkan kehadirannya membawa faedah besar. Janganlah kehadiran seseorang muslim di suatu tempat tidak membawa apa-apa erti. Setiap muslim itu mestilah selalu berfikir, mempersiapkan dirinya seupaya yang mungkin. Ini supaya ia dapat memberikan manfaat dalam hal-hal tertentu. Janganlah seorang muslim itu tidak dapat mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya.

Demikian secara umum profil seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Quran dan hadis, sesuatu yang perlu kita renungkan pada diri masing-masing.