Thursday, July 24, 2008

Aurat dan Pornoaksi: Tinjauan Agama dan Rasional

Aurat dan Pornoaksi:
Tinjauan Agama dan Rasional


Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَىَ ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Al-A‘araf, 7: 26).

Islam telah menetapkan bahawa adanya bahagian yang tertentu menjadi aurat pada diri wanita yang perlu ditutupi. Ia adalah suatu hukum yang mudah menurut kacamata Islam yang umum di dalam kehidupan yang terdapat padanya perkara yang diharuskan dan perkara yang ditegah. Perspektif umum Islam menggesa agar kita menjauhkan diri dari segala godaan dan perkara yang meransang syahwat. Matlamatnya ialah memuliakan manusia dan meninggikan sifat nalurinya, disamping menjadikan kuasa yang di tangan seseorang dipandu oleh matlamat syari’at dan hukum-hakam akal…. agar manusia dinaungi dengan kemuliaan. Juga mengangkat darjat manusia daripada semata-mata menjadi seperti haiwan, sekadar makan dan memakai.

Apa yang berlaku terhadap wanita di barat, dan menjadi realiti yang biasa ialah kecenderungan kepada budaya bogel yang primitif. Sudah ketara pemudi-pemudi di Eropah, mereka selesa dengan adat tradisi separuh bogel. Apa yang dilihat pada hari-hari percutian musim panas suatu yang sangat parah.

Dengan syari’at Islam, masyarakat Islam adalah masyarakat yang bersih. Islam telah memfardhukan kebersihan luaran dan dalaman, zahir dan batin, pemikiran dan perasaan, pakaian dan tempat tinggal. Islam juga memfardhukan kesucian hati daripada segala penyakit-penyakitnya dan kebersihan lahiriah daripada segala kekotoran. Kemurnian hubungan antara lelaki dan wanita adalah satu cabang daripada prinsip kebersihan ini. Namun terdapat mereka yang inginkan kepincangan dan memandang hubungan sebegini sepertimana yang mereka katakan: “Hubungan biologi adalah suatu yang tabi’ie, tiada padanya sebarang kecelaan dan tiada sebarang ikatan.” Memandang manusia hanya sebagai lelaki atau wanita adalah pandangan yang cetek, sedangkan tersirat di sebaliknya persediaan ke arah kemuliaan dan ketinggian.

Kita telah melihat mereka yang telah memeluk Agama Islam di celahan situasi gejala yang terpesong ini, mereka itu telah bahagia dengan konsep Islam yang memuliakan manusia, sehingga berkata salah seorang daripada mereka yang memeluk Agama Islam kepada sekelompok bangsanya sendiri iaitu Eropah, yang perlu kami tegur pendekatannya, iaitu: “Selagimana kamu tidak memeluk Agama Islam, kamu adalah lembu…!” Ya benar! Sesungguhnya adab dakwah menolak perkataan yang sedemikian, tetapi perlu dijelaskan: Apabila mereka memeluk Agama Islam dan mengetahui tentang kebersihan Islam, mereka dapat mengenali hakikat taraf kebinatangan yang telah terpalit kepada mereka seketika dahulu (Dan suatu yang bercanggah itu menzahirkan kebaikan yang di sebaliknya).

Para pengkaji yang adil, mengetahui dengan yakin, tentang seks rambang yang dialami oleh orang bukan Islam khususnya di barat. Kebanyakan kanak-kanak, wanita dan pemuda tidak mengenali bapa mereka. Seorang suami kepada seorang wanita muslimah Amerika telah memberitahu kepadaku bahawa isterinya tidak pasti siapa bapanya yang sebenar, bapanya telah menggauli semua anak perempuannya dan dia bersyukur kepada Allah kerana Allah menyelamatkannya.

Sesungguhnya Islam menjaga nasab keturunan dan harta benda, yang merupakan salah satu dari objektif-objektif Islam yang dharuri (mesti). Yang mana hidup ini tidak akan konsisten tanpa unsur-unsur tersebut. Lantaran itu, para ulama’ Islam menamakannya sebagai al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) iaitulah menjaga agama, akal, kehormatan, jiwa, harta, kebebasan dan kemuliaan.

Masyarakat Islam dibangunkan dengan menjaga perkara-perkara dharuri ini, mereka saling tolong-menolong untuk menjaganya, bahkan ia bertanggung jawab untuk memeliharanya demi kesejahteraan dan kelangsungan masyarakat Islam.

Antara suatu yang logik, ketetapan akal dan hukum-hakamnya yang jelas ialah jika ditegah dan diharamkan suatu perkara, maka ditegah juga wasilah (pengantara) dan segala sebab-musababnya. Oleh kerana syari’at Islam itu terbina dengan kebijaksanaan akal untuk mendapatkan maslahah (kebaikan), maka sudah tentulah Islam mengharamkan segala wasilah yang membawa kepada suatu yang haram; dan memfardukan wasilah yang membawa kepada suatu yang wajib. Oleh kerana mendedahkan aurat dan melihat aurat adalah satu perkara yang boleh membawa kepada yang diharamkan dan merosakkan penjagaan salah satu daripada al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) dalam syari’at Islam; maka pada logik dan syari’at sudah pasti - perhiasan lelaki dan wanita hendaklah pada had kadar yang memelihara kemuliaan diri mereka serta menjamin kesejahteraan masyarakat - menjadi salah satu daripada kefardhuan Islam, adab-adab Islam yang murni dan lambang kebersihan Islam, serta kemuliaan dan ketinggian ISLAM.


HARAM DEDAH AURAT

Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

Juga firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
(An-Nuur: 30, 31)


Terdapat pada diri lelaki bahagian aurat yang diharamkan kepada lelaki yang lain melihatnya dan wanita juga mempunyai bahagian aurat yang diharamkan ke atas wanita yang lain untuk melihatnya. Jelas, pada jasad lelaki terdapat bahagian yang diharamkan ke atas wanita melihatnya dan terdapat pada wanita bahagian yang diharamkan ke atas lelaki melihatnya. Perkara ini menunjukkan bahawa syari’at Islam adalah syari’at yang selaras dan bersepadu. Ia tidak mengkhususkan wanita sahaja bahkan ia merupakan syari’at yang adil. Ia memelihara segala masalah hubungan tabi’ie dan kecenderungan semulajadi antara lelaki dan wanita.

Hadis Nabi yang menyatakan tentang perkara ini ialah berdasarkan riwayat al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Hakim mengatakan sanad hadis ini sahih daripada Abdullah Ibn Mas‘ud Radiallahu‘anhu. Beliau berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang apa yang ia riwayatkan daripada Allah Subhanahu wa ta‘ala:

النَظْرَةُ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْسَ مَنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَتِي أَبْدَلْتُهُ إِيْمَانًا يَجِدُ حَلاَوَتَهُ فِي قَلْبِهِ
Maksudnya: “Pandangan adalah antara panahan iblis, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takutkanKu maka akan aku gantikan dengan keimanan yang ia akan dapat rasakan kemanisannya di dalam hatinya.”

Imam Ahmad dan al-Tabarani meriwayatkan daripada Abu Umamah Radiallahu‘anhu, daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ أَوَّلَ مَرَّةٍ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ إِلاَّ أَحْدَثَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةً يَجِدُ حَلاَوَتَهَا
Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang memandang kepada kecantikan seorang wanita kemudian ia memejamkan matanya melainkan Allah Subhanahu wa ta‘ala timbulkan baginya satu ibadah dan ia merasakan kemanisan di dalam hatinya.”

Imam Ahmad dan Ibn Hibban meriwayatkan di dalam kitab sahih mereka dan juga al-Hakim, daripada ‘Ubadah Ibn Samit Radiallahu‘anhu, daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ
Maksudnya: “Pelihara enam perkara di dalam diri kamu nescaya aku akan menjamin syurga untuk kamu: Bercakap benar bila berbicara, apabila berjanji ia tepati, menjaga amanah apabila diberi amanah, menjaga kemaluan, menundukkan pandangan dan menjaga tangan kamu.”

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, daripada Abu Hurairah Radiallahu‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأذُنَانِ زِنَاهُمَا الاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Allah telah menetapkan ke atas anak Adam nasib mereka berkaitan zina secara pasti: Zina mata ialah pandangan, zina telinga ialah pendengaran, zina lidah ialah bicara, zina tangan ialah penganiayaan, zina kaki ialah langkah, zina hati ialah hawa nafsu dan angan-angan, semua ini dibenarkan oleh kemaluan dan ia memperdayanya.”

Imam Muslim dan al-Tirmizi meriwayatkan, daripada Jarir Radiallahu‘anhu, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَقَالَ اصْرِفْ بَصَرَكَ
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang pandangan yang tidak disengajakan, maka jawab Baginda: “Palingkan pandangan kamu.”

Tidak syak lagi antara matlamat Islam berkaitan menundukkan pandangan ialah – sepertimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab Zilal – untuk mendirikan masyarakat yang bersih, yang tidak hanyut dilanda gelombang nafsu pada setiap detik dan tidak dipengaruhi oleh ransangan syahwat pada setiap masa. Pengaruh ransangan seks berterusan, dan berakhir dengan insan terhumban ke dalam api serakah syahwat yang tidak kunjung padam dan puas. Pandangan yang khianat, gerak geri yang memberahikan, perhiasan mereka yang bersolek serta tubuh yang bertelanjang, semuanya tidak lain, melainkan membakar semarak hawa nafsu yang menggila. Satu-satunya kaedah Islam untuk mewujudkan masyarakat yang bersih ialah menghalang semua pengaruh sebegini dan mengekalkan dorongan fitrah yang mendalam antara dua jantina ini dalam keadaan yang sejahtera dengan kekuatan yang tabi‘ie tanpa ada pengaruh yang sengaja diada-adakan.

Pernah diperkatakan bahawa terdapat faedah daripada perbuatan seperti melepaskan pandangan, berbicara terbuka, bergaul bebas, gurau senda dan bergembira tanpa batasan antara dua jantina, serta melihat bahagian aurat tersembunyi. Yang mana digembar-gemburkan bahawa ia boleh meredakan dan merehatkan, menjadi sebagai luahan terhadap hambatan dan halangan rasa ghairah, mengawal diri dari konflik dan tekanan jiwa, meringankan tekanan seksual dan lain-lain lagi.

Namun mereka yang berpegang dengan pandangan dan pemikiran ini telah lupa, kecenderungan fitrah antara lelaki dan perempuan merupakan kecenderungan yang mendalam dalam pembentukan yang hidup. Ini kerana Allah Subhanahu wa ta‘ala menciptakannya untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini, dan merealisasikan tugas khilafah manusia di atas muka bumi. Ia merupakan kecenderungan berkesinambungan.

Memarakkan gelombang nafsu sedemikian menambah lagi haru-biru, dan mendorong seseorang untuk memadamkannya secara lahiriyyah untuk memperolehi kerehatan. Jika ia gagal melakukannya maka saraf yang sedang bergelora akan kepenatan. Ia menyebabkan suatu penyeksaan yang berpanjangan.

Pandangan boleh memberahikan, ketawa boleh menghairahkan, gurau-senda boleh merangsang, dan jeritan yang mengungkapkan kecenderungan ini juga boleh memberi ransangan. Satu-satunya cara yang boleh dipercayai ialah dengan mengurangi pengaruh-pengaruh ini sehingga kecenderungan ini kekal pada batas-batasnya yang tabi‘ie. Seterusnya menyahut seruan yang tabi‘ie ini dengan perkahwinan yang syar‘ie.

Inilah dia landasan yang dipilih oleh Islam dan yang diredhai bagi keperluan seks manusia, untuk menyempurnakan ketenangan jiwa, kestabilan fikiran, kerehatan saraf dan ikatan murni yang mengikat keseluruhan bani insan!!

Alangkah indahnya apa yang pernah diungkapkan oleh sebahagian mereka berkaitan pengaruh pandangan:

كل الحوادث مبداها من النظر
ومعظم النار من مستصغر الشرر
كم نظرة فعلت في قلب صاحبها
فعل السهام بلا قوس ولا وتر
والمرء مادام ذا عين يقلبها
في أعين الغيد موقوف على خطر
يسر مقلته ما ضر مُهجتَه
لا مرحبا بسرور عاد بالضرر
Maksudnya:
“Mata adalah punca segala perlakuan yang pincang; api yang memarak berasal dari percikan yang kecil.”
“Betapa banyak penglihatan mengganggu hati tuannya; bak panahan yang menusuk hati tembus ke sanubarinya.”
“Selama mana manusia memiliki mata yang dipermain-mainkannya; merenung mata rupawan yang membahayakan.”
“Matalah yang girang gembira namun hatinya yang menerima bahananya; kita tidak mengalu-alukan kegembiraan yang berakhir dengan kemudharatan.”

Benarlah sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani:

ثَلاَثَةٌ لاَ تَرَى أَعْيُنُهُمْ النَّارَ عَيْنٌ حَرَسَتْ فِي سَبِيْلِ اللهِ وَعَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ وَعَيْنٌ كَفَتْ عَنْ مَحَارَمِ اللهِ
Maksudnya: “Tiga mata yang tidak melihat api neraka, mata yang berwaspada di jalan Allah; mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang terpelihara daripada apa yang diharamkan Allah.”


Aurat Lelaki:
Al-Hakim telah mengeluarkan sebuah hadis daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

مَا بَيْنَ السُّرَّةِ وَالرُّكْبَةِ عَوْرَةٌ
Maksudnya: “Apa yang di antara pusat dan lutut adalah aurat.”

Al-Hakim meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang terdedah pahanya, maka Baginda berkata kepadanya sebagai memberi nasihat:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّ الفَخِذَ عَوْرَةٌ
Maksudnya: “Tutupkan paha kamu, sesungguhnya paha adalah aurat.”

Menurut sebuah riwayat al-Tirmizi:

الفَخِذُ عَوْرَةٌ
Maksudnya: “Paha adalah aurat.”

Nas-nas hadis ini menjelaskan bahawa tidak harus bagi seorang lelaki mendedahkan sejuzuk pun antara lutut dan pahanya, sama ada ketika bersukan, berenang, latihan dan juga di kolam air, sekalipun aman daripada rasa syahwat.


Aurat Wanita:
Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ ...
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka... (An-Nuur: 31)

Wanita-wanita Islam diperintahkan menutupkan dan mengulurkan penutup kepalanya sehingga dapat menutupi leher dan dadanya. Bahagian dada dan belahan dadanya tidak boleh didedahkan sebagaimana yang dilakukan wanita-wanita jahiliah.

Suara wanita pula mestilah dikawal supaya tidak menggoda. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ
Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)” (Al-Ahzab: 32).


Perhiasan Wanita Yang Boleh Didedahkan:
Para ulama’ juga telah menyebut pendapat-pendapat yang ma’thur dari sahabat dan tabi’ien. Al-Qurtubi mengatakan bahawa; Ibn ‘Abbas, Al-Miswar bin Makhramah dan Qatadah mengatakan perhiasan yang zahir ialah:

“Celak, gelang dan inai pada kadar setengah hasta serta subang dan cincin.”

Di dalam kitab Fath Al-Qodir karangan Al-Imam Al-Syaukani, diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas:

“Setengah betis atas dari kaki, itulah apa yang zahir.”

Al-Imam Al-Alusi berkata: “Apa yang disebutkan oleh Al-Imam Al-Zamakhsyari adalah dari pendapat yang masyhur dalam mazhab Abu Hanifah, bahawa bahagian perhiasan yang zahir adalah merangkumi:

“Wajah, dua tangan hingga ke pergelangan dan kaki hingga ke buku lali; bukanlah aurat, maka tidak diharamkan melihat kepadanya. Kepayahan untuk menutup dua kaki hingga ke buku lali adalah lebih berbanding kepayahan menutup dua tangan hingga ke pergelangan, terutama bagi kebanyakan wanita Arab yang fakir.”


Budaya Pincang:
Wanita berpakaian ketat di hadapan mahramnya (kerabat si wanita yang haram menikahinya) dan di hadapan wanita lain saja tidak boleh. Apalagi di hadapan lelaki lain. Masalah wanita berpakaian ketat ini ditegaskan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي رِجَالٌ يَرْكَبُونَ عَلَى السُّرُوجِ كَأَشْبَاهِ الرِّجَالِ يَنْزِلُونَ عَلَى أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ نِسَاؤُهُمْ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ عَلَى رُءُوسِهِمْ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْعِجَافِ الْعَنُوهُنَّ فَإِنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ
Maksudnya: “Akan ada di akhir ummatku orang-orang yang naik di atas pelana seperti layaknya orang-orang besar, mereka singgah di depan pintu-pintu masjid, wanita-wanita mereka berpakaian namun telanjang, di atas kepala mereka ada semacam punuk unta, laknatlah mereka karena sesungguhnya mereka itu terlaknat.” (Hadis riwayat Ahmad. Al-Haitsami berkata: Para periwayat Ahmad dinilai Sahih).

Sabda Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam “kasiyat ‘ariyat” telah ditafsirkan:
- Berpakaian dengan pakaian pendek yang tidak menutupi aurat yang harus ditutup.
- Mengenakan pakaian tipis yang tidak menutupi kulitnya dari pandangan di baliknya.
- Pakaian ketat yang memang menutupi kulit dari pandangan namun tetap menampakan lekuk dan bentuk kemolekan tubuh wanita.

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam lagi:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “Dua golongan termasuk ahli neraka, aku belum pernah melihat mereka; satu kaum (penguasa) yang membawa cambuk (besar) seperti ekor lembu, dengannya mereka memukul manusia; dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, menggoda dan melenggok-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati aromanya, padahal aromanya boleh didapat dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang dua fenomena: Sadisme dan Pornoaksi. Golongan pertama adalah kaum lelaki sedangkan golongan kedua adalah kaum wanita. Antara kedua golongan yang berlawanan jenis ini tentu saja ada interaksi. Ini kerana, dalam suatu komuniti masyarakat yang banyak dijumpai wanita-wanita seperti golongan kedua, pasti akan banyak terjadi perkosaan, kekerasan, sadisme, pergolakan dan penganiayaan seperti yang dilakukan golongan pertama.

Golongan pertama menggunakan kekerasan sebagai senjatanya sedang golongan kedua menggunakan kelembutan (keindahan) sebagai senjatanya. Golongan kedua sering berselindung di balik istilah moden, seni dan keindahan, untuk menipu manusia. Orang sering mengutuk perbuatan golongan pertama dengan kata-kata kejam, sadis dan buas, tetapi menyanjung golongan kedua dengan sebutan seperti artis, ratu kecantikan dan wanita moden.

Justeru perlu diingat bahawa tidak mendedahkan diri kepada khalayak adalah lebih baik daripada berdedah dengan perhiasan seperti orang yang jahil agama. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah.” (Al-Ahzab: 33)


Beberapa Halangan:
1) Kemungkinan suasana masyarakat dan keadaan setempat menyebabkan seseorang keberatan melaksanakan beberapa perintah Allah Subhanahu wa ta‘ala dan tuntuan agama, ia mestilah memahami bahawa dalam setiap perkara memerlukan kesabaran. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ
Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Al-Baqarah, 2)

Bersabar untuk melakukan ketaatan adalah suatu kemestian. Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
Maksudnya: “Akan tiba suatu zaman, manusia pada ketika itu perlu bersabar melakukan ketaatan seperti mengenggam bara api.”

Ganjaran besar bagi orang bersusah payah dan bersabar untuk melakukan suatu amalan dibayangkan di dalam hadith Nabi Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasir:
الْعِبَادَةُ فِي الْهَرْجِ كَهِجْرَةٍ إِلَيَّ
Maksudnya: “Beribadat dalam kepayahan adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Musnad Imam Ahmad).

Tidak sepatutnya seseorang terikut-ikut dengan orang lain untuk melakukan sesuatu, sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:

لاَ تَكُونُوا إِمَّعَةً ، تَقُولُونَ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا ، وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا ، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا ، وَإِنْ أَسَاؤُوا فَلاَ تَظْلِمُوا
Maksudnya: “Janganlah seseorang menjadi imma‘ah (terikut-ikut). Iaitu ia mengatakan: “Jika orang lain baik, kami juga melakukan kebaikan; jika mereka zalim, kami juga melakukan zalim. Tetapi tetapkanlah pada diri kamu, jika orang melakukan kebaikan, kamu juga turut melakukan kebaikan; jika mereka melakukan kejahatan, janganlah kamu zalim.” (Hadith dikemukakan oleh al-Tirmizi. Beliau menilainya Hasan Gharib).

2) Sesetengah orang pula tidak ingin melaksanakannya semata-mata kerana menganggap diri bukan dari golongan yang baik atau mulia. Ia sebenarnya helah syaitan supaya ia bertangguh. Ini kerana tiada manusia yang sempurna dengan kebaikan. Jadi sampai bilakah ia ingin bertangguh dengan alasan demikian?! Amalan buruk seseorang hanya dapat ditampung dengan amalan baik. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.” (Hud, 114).

Di dalam sebuah hadith: kata Abu Zar: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:
اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا ، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah di mana sekali kamu berada. Susulilah perbuatan jahat dengan perbuatan baik. Pasti ia dapat menghapuskan kejahatan. Dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (Dikemukakan oleh Imam Ahmad).

3) Antara contoh dakwaan yang sering disebut-sebut ialah: “Tidak perlu pakai tudung, jika tidak sembahyang.” Ini bukanlah bererti orang yang tidak sembahyang, ia tidak mendapat dosa jika tidak memakai tudung. Sebenarnya, tiada kaitan antara dua perkara tersebut. Memakai tudung adalah seperkara dan sembahyang seperkara lain. Seseorang itu sudah berdosa dengan meninggalkan sembahyang. Jadi jika ia menambah kejahatan tidak sembahyang dengan satu lagi kejahatan tidak mahu memakai tudung, maka bertambahlah lagi dosanya.

4) Seseorang yang mendapati dirinya tidak istiqomah (consistent) dengan suatu amalan tidak sepatutnya ia langsung meninggalkan perbuatan itu. Allah Subhanahu wa ta‘ala telah berfirman:
فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (istiqomah), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu).” (Fussilat, 6).

Ayat ini mengisyaratkan semestinya berlaku kecuaian dalam istiqamah. Tetapi ia ditampung dengan istighfar. Tiada orang yang mampu benar-benar istiqomah tetapi hendaklah melakukan perkara yang betul dan menepati atau hampir dengan tujuan.

Taubat yang dilakukan selepas ia dibatalkan dengan mengulangi dosa adalah sah. Ini kerana taubat yang pertama adalah suatu ketaatan. Ia telahpun dilakukan dan sah. Apabila dilakukan dosa kali kedua, ia perlu memulakan taubat yang lain. Perbuatan mengulangi dosa, lebih buruk daripada memulakannya kerana ia menambah pembatalan taubat dengan perlakuan dosa. Begitupun, mengulangi taubat adalah lebih baik daripada memulakannya. Ini kerana ia menambah kesungguhan mendampingi Allah yang Maha Mulia.

5) Tidak ikhlas dalam suatu amalan bukanlah suatu alasan membolehkan seseorang meninggalkan amalan yang mesti dilakukan. Contohnya seseorang yang wajib sembahyang tidak boleh meninggalkannya kerana merasakan hati tidak ikhlas. Begitulah juga dalam setiap amalan agama. Tidak sepatutnya seseorang tidak mahu menutup aurat semata kerana merasa tidak ikhlas seperti riya atau ujub. Malah ia mestilah tetap melakukannya disamping berusaha mengubah niatnya supaya ikhlas. Kata Fudhail bin `Iyadh: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riyak dan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik."

Setiap amalan dinilai mengikut niat. Amalan yang dilakukan tanpa dipedulikan sama ada ia adalah perintah atau larangan Allah Subhanahu wa ta‘ala, maka ia terbatal dan tiada ganjarannya. Amalan yang ikhlas ialah yang dilakukan kerana Allah Subhanahu wa ta‘ala semata-mata tanpa mengharapkan yang lain. Tidak bercanggah dengan keikhlasan jika seseorang yang niat asalnya untuk Allah semata-mata, kemudian ia mengharapkan ganjaran dan habuan yang dijanjikan Allah sama ada di dunia dan di akhirat; atau untuk menghindari musibah di dunia dan akhirat. Contohnya, seseorang yang berpuasa dan mengharapkan untuk mengurangkan berat badan, maka jika niat asalnya untuk patuh kepada perintah Allah, puasanya tetap diberikan ganjaran pahala. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
وَيَدْعُونَنَا رَغَباً وَرَهَباً
Maksudnya: "Dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan (kepada janji Allah) serta gerun takut (kepada ancaman Allah)." (Al-Anibiya', 90)

6) Melakukan sesuatu amal ibadat kerana disuruh oleh seseorang tidaklah bererti seseorang itu tidak ikhlas. Ini kerana Allah Subhanahu wa ta‘ala menyuruh supaya taat kepadaNya, kepada Rasul dan juga kepada orang yang menyuruh melakukan kebaikan. Jadi seseorang yang melakukan amal ibadat selepas disuruh oleh seseorang, ertinya ia taat kepada Allah dan Rasul. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (Al-Nisa': 59)
Seseorang mestilah patuh dan taat dalam melakukan amal dan ibadat meskipun perkara yang tidak disukainya. Ubadah bin Shamit berkata:
بَايَعْنَا رَسُولَ اللهِ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ اْلأَمْرَ أَهْلَهُ وَأَنْ نَقُومَ أَوْ نَقُولَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لاَ نَخَافُ فِي اللهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ
Maksudnya: "Kami telah membaiah (akad setia) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk senantiasa mendengar dan mentaatinya, baik dalam keadaan yang kami senangi maupun yang tidak kami senangi dan agar kami tidak akan merebut kekuasaan dari orang yang berhak dan agar kami senantiasa mengerjakan atau mengatakan yang haq di mana saja kami berada tidak takut karena Allah kepada celaan orang-orang yang suka mencela." (Riwayat Al-Bukhari)

Hasan Nazam


1) Aurat - Clip Video
http://www.youtube.com/watch?v=Q5l02NdeIVY

2) Aurat - Tuan Guru Nik Aziz
http://www.youtube.com/watch?v=UG_iFzfd5Oc

3) Aurat - Us Zaharuddin
http://www.youtube.com/watch?v=80hLkcvBhts&feature=related

No comments: