Sunday, July 27, 2008

ASPEK-ASPEK KEPENTINGAN AKHLAK

ASPEK-ASPEK KEPENTINGAN AKHLAK
1) Pertautan Aqidah dengan Akhlak
2) Pertautan Akhlak dengan Kemurahan Rezeki
3) Pertautan Akhlak dalam Kehidupan Sosial
4) Pertautan Akhlak dalam Menjaga Kesucian dan Kehormatan Diri
4.1) Kembali kepada fitrah
4.2) Membersihkan diri daripada noda dan dosa
4.3) Memelihara batasan pergaulan dan aurat
4.4) Mengutamakan hak agama Islam

2) Pertautan Akhlak dengan Kemurahan Rezeki
Hubungan antara akhlak dan rezeki memberi kesan yang begitu mendalam. Al-Quran telah menyebut berulang-kali bahawa beriman kepada Allah dan Rasul serta meyakini bahawa bertaqwa kepada Allah merupakan sebab yang membawa kepada kesenangan hidup yang berpanjangan, kemenangan ke atas pihak musuh, serta mendatangkan izzah dan karamah kepada orang mukmin.

Ini semua mendorong manusia agar memperbetulkan konsep, iltizam dengan Islam yang sebenar sebagai prinsip hidup, sebagai suatu manhaj yang berupaya menyusun kehidupan pada aspek luaran, dalaman dan segenap segi.

Terdapat sebahagian daripada ayat-ayat yang mengaitkan antara iman dan rezeki, memperuntukkan kepada ahli iman dan taqwa kemurahan rezeki dan kesenangan hidup.

Allah SWT menceritakan bagaimana kisah ahli kitab, jika mereka beriman kepada Allah, maka Allah akan hapuskan dosa mereka dan menjanjikan dengan nikmat yang paling agung iaitu syurga. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:
ولو أن أهل الكتاب ءامنوا واتقوا لكفرنا عنهم سياتهم ولأدخلنهم جنات النعيم ولو أنهم أقاموا التوراة والإنجيل ومآ أنزل إليهم من ربهم لأكلوا من فوقهم ومن تحت أرجله
Maksudnya: Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah kami akan masukkan mereka kedalam syurga-syurga yang penuh nikmat. Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). (Al-Maidah: 65, 66)

Allah SWT berfirman lagi tentang penduduk kota Mekah, sekiranya mereka beriman kepada Allah, maka Allah akan melimpahkan rezeki yang tidak terhingga, sekiranya mereka berpegang kepada syriat yang dibawa oleh Rasul. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:
ولو أن أهل القرى ءامنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab yang mereka telah usahakan. (Al-A`raf: 96)

Seterusnya Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman lagi berkaitan perkara ini:
فقلت استغفروا ربكم إنه كان غفارا يرسل السماء عليكم مدرارا ويمددكم بأموال وبنين ويجعل لكم جنات ويجعل لكم أنهارا
Maksudnya: Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Nuh: 10 –12)

Allah ‘Azza Wa Jalla mengisahkan tentang penduduk kota Mekah yang ingkar dengan perintah Allah, lalu Allah turunkan bala kelaparan dan ketakutan kepada penduduk kota itu. Allah berfirman:
وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذاقها الله لباسالجوع والخوف بما كانوا يصنعون
Maksudnya: Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (An-Nahl: 112)

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman tentang rezeki dan rahmat hanya milik-Nya, sesiapa yang memohon selain daripada-Nya, nescaya sia-sialah permintaan mereka:
إن الذين تعبدون من دون الله لا يملكون رزقا فاابتغوا عند الله الرزق واعبدوه واشكروا له إليه ترجعون
Maksudnya: Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-segalanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.
(Al-Ankabut: 17)

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:
فليعبدوا رب هذا البيت الذي أطعمهم من جوع وءامنهم من خوف
Maksudnya: Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Ka'bah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy: 3, 4)

Setelah kita memerhatikan firman Allah yang panjang lebar di atas, jelaslah kepada kita bagaimana Allah menjamin rezeki orang yang beriman dan iltizam dengan agamanya dan menjauhi segala larangan larangan dan tegahan agama.

Kisah saba’ yang dirakamkan di dalam Al Quran masih lagi segar di dalam ingatan. Kita lihat bagaimana orang yang berpaling daripada syariat Allah, ditimpa bencana banjir besar dan kesempitan hidup. Pada kisah penduduk negeri Saba' ini, ada satu tanda yang membuktikan kemurahan Allah. Terdapat di tempat tinggal mereka dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan disebelah kiri perkampungan mereka. Malangnya mereka ingkar dengan perintah Allah, lalu Allah hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan digantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.

Di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) Allah limpahkan berkat kemakmuran dan Allah adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan kepada orang-orang yang melalui jalan itu. Kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur. Lalu Allah pecah belahkan mereka berkecai-kecai.

Kisah-kisah yang dipaparkan di dalam firman Allah di atas sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Baginda junjungan di dalam hadis:
من سره أن يبسط له في رزقه وينساء في أثره فليصل رحمه
Maksudnya: Barangsiapa yang merasa gembira untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silturrahim (dengan ihsan). (Daripada Anas)

Ibn Qoiyim Al-Jauziyyah menjelaskan berkaitan hadis ini iaitu yang dimaksudkan dengan panjang usia ialah mendapat keberkatan, menggunakan umur atas landasan taufiq dan tidak membiarkannya berlalu sia-sia. Karat-karat dosa yang menyelaputi kehidupan manusia menambahkan lagi kesempitan hidup dan jauh dari rahmat Allah. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sabda Baginda:
عن ثوبان قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن الرجل ليحرم الرزق بالذنب يصيبه ولا يرد القدر إلا بالدعاء ولا يزيد في العمر إلا البر
Maksudnya: Sesungguhnya disempitkan rezeki seseorang dengan dosa yang menimpanya. Taqdir tidak akan berubah melainkan dengan doa. Tidak dipanjangkan umur melainkan dengan melakukan kebajikan. (Sahih Ibn Hibban)

3) Pertautan Akhlak dalam Kehidupan Sosial
- Dapat digambarkan berakhlak mulia dan berbudi pekerti menerusi sabda Rasulullah SAW bersabda:
عن أبي الدرداء ما من شىء أثقل في ميزان المؤمن يوم القيامة من حسن الخلق وإن الله يبغض الفاحش البذيء
Maksudnya: Daripada Abi ad-Darda’ Tiada sesuatu yang lebih memberatkan mizan mukmin pada hari qiamat daripada akhlak yang mulia, sesungguhnya Allah memurkai seorang yang bersikap tercela dan bercakap kotor. (Dikeluarkan oleh Tirmiziy)

Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menjelaskan:
عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم الحياء من الإيمان والإيمان في الجنة والبذاء من الجفاء والجفاء في النار
Daripada Abi Hurairah RA: Malu itu sebahagian daripada iman. Dan balasan iman ialah ditempatkan di syurga, bercakap kotor adalah daripada tabiat yang kasar, sikap kasar tempatnya ialah di neraka. (Sunan At-Tirmiziy)


- Antara lain yang mesti dilaksanakan ialah menjaga dan mengiktiraf hak seorang sahabat, Rasulullah SAW bersabda:-
عن أبى هريرة رضى الله قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من كانت له مظلمة لأخيه من عرضه أو شيء فليتحلله منه اليوم قبل أن يكون دينار ولا درهم، إن كان له عمل صالح أخذ منه بقدر مظلمته، وإن لم تكن له حسنات أخذ من سيآت صاحبه فحمل عليه
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang terdapat padanya sebarang kezaliman (penganiayaan) terhadap sahabatnya, yang melibatkan kehormatan dan kemuliaannya atau harta-bendanya, maka hendaklah ia meleraikannya pada hari itu juga; sebelum tibanya hari yang tiada padanya dinar dan dirham (hari qiamat); jika padanya terdapat amal soleh maka akan diambil amalan itu pada kadar kezalimannya, jika tidak terdapat padanya kebaikan maka akan diambil kejahatan sahabatnya dan dibebankan ke atasnya. (Sahih Al Bukhariy)

Dalam hadis ini Rasulullah SAW menggesa kaum muslimin agar saling menunaikan hak-hak saudaranya antara satu sama lain. Ditegah sama sekali mencetuskan sebarang kezaliman atau penganiayaan ke atas saudaranya. Demikian juga berkaitan dengan hak-hak saudaranya yang lain, dilarang keras melakukan sebarang pencabulan dan penindasan yang jelas dikutuk oleh Allah ‘Azza Wa Jalla. Perlulah diberi peluang kepada sahabat untuk menunaikan hak dan juga mendapatkan haknya.

- Pelbagai ragam manusia dalam menjalinkan ukhuwwah sesama mereka, ada sebahagian daripada mereka yang benar-benar menghayati ruh ukhuwwah dan golongan inilah yang mendapat keberkatan daripada Allah dan ada juga segolongan yang lain sekadar mementingkan diri sendiri dan tidak tulus menjalinkan hubungan dan biasanya jalinan yang sebegini tidak kekal. Berkaitan jalinan interaksi ukhuwwah sesama manusia ini Syeikh Aiyub menjelaskan beberapa kategori manusia sepertimana berikut :-
*Mereka yang menghubungi orang yang telah memutuskan hubungan dengannya dan menghulur sesuatu kepada mereka yang tidak pernah menghulurkan apa-apa kepadanya.
*Mereka yang menghulurlan sesuatu kepada orang yang pernah menghulurkan bakti kepadanya dan menjalin hubungan dengan mereka yang menghubunginya.
*Orang yang tidak menjalinkan hubungan, tidak pula dihubungi oleh orang lain dan tidak pernah menghulurkan apa-apa, dia juga tidak akan memperolehi apa-apa daripada orang lain. Lebih teruk lagi ialah mereka yang memutuskan hubungan yang telah terjalin dan tidak menghulurkan apa-apa apabila orang menghulurkan sesuatu kepadanya. (Suluk Ijtami’ie Fi Al Islam: 242)

Sepertimana hubungan terjalin melalui peranan dua belah pihak begitu juga terputusnya hubungan berlaku dengan tindakan kedua-dua belah pihak. Siapa yang mula meretakkan dan memutuskan hubungan maka dialah yang bertanggungjawab dengan segala yang berlaku dan sebagai pemutus hubungan.

- Jalinan hubungan secara individu. Memilih individu tertentu yang dirasakan berpotensi untuk didampingi dan dijadikan sasaran dakwah. Menjadikan diri sendiri sebagai penyebab bagi hidayah kepada mereka. Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَى وَفُرَادَى...
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, samada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri…”(Saba’: 46).

Ini memandang terdapat perkara-perkara tertentu tidak boleh dilakukan di dalam kelompok yang besar atau terang-terangan tetapi jika dilakukan di dalam kelompok yang lebih kecil atau secara bersendirian, ia akan membuahkan hasil yang baik.
Sabda Rasulullah SAW kepada Saidina Ali RA:-
فوالله لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم
Maksudnya: Demi Allah ‘‘Azza Wa Jalla sekiranya Allah ‘Azza Wa Jalla memberi hidayat denganmu seorang lelaki adalah lebih baik daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).

- Ikatan ukhwwah dapat membina kesatuan. Ia adalah teras dalam perjuangan demi menegakkan agama Allah. Mestilah disusun soff (barisan) / jamaah dan dibina kesatuan dengan bekerjasama. Berjuang fi sabillah iaitu di jalan Allah di atas landasan syariat, tidak bermatlamatkan dunia, bukan untuk kepentingan diri atau kepentingan mana-mana pihak, bukan di atas dasar ‘asobiyyah’ (perkauman). Sentiasa berada dalam kesatuan. Kekuatan dibina dengan kesatuan bagi menegakkan agama Allah. Sepertimana seorang yang memiliki suatu binaan tidak suka binaan tersebut pincang begitulah juga Allah tidak menyukai ummat ini berbalah dan berpecah. Kekukuhan kesatuan yang dibina seumpama binaan yang tersusun rapi lagi indah dan sempurna tiada sebarang kecacatan.

Seumpama tertegaknya sebuah bangunan dari pelbagai juzuknya, bermula dari tapak, dinding, tiang dan sebagainya. Setiap satu juzuk bangunan itu mempunyai peranannya sendiri. Bangunan tidak akan terbina semata-mata dengan satu juzuk sahaja. Jika salah satu dari juzuknya dipisahkan maka ia terdedah kepada pelbagai bahaya lama-kelamaan ia akan terus roboh. Mereka yang ingin menegakkan agama secara bersendirian tidak akan berjaya kerana ia tidak menunaikan tuntuntan Islam dalam perjuangannya.
(Sedutan Fi Zilal Al Quran: jil 6; ms 3555)

Sewajarnya saling tolong-menolong dan lengkap-melengkapi antara individu, kelompok masyarakat dan jamaah, walaupun saling berbeza fikrah dan pendapat dalam usaha mengislah masyarakat, politik dan ekonomi. Lainlah halnya sekiranya terdapat percanggahan dalam prinsip dan wasilah yang digunakan oleh mereka, berkaitan nas yang menjelaskan soal halal atau haram.
(Sedutan dari Al-Syariah Al-Muftara Alaiha: 126)

Hal sebegini ditegaskan Allah ‘Azza Wa Jalla dalam firmanNya:
إن الله يحب الذين يقاتلون في سبيله صفا كأنهم بيان مرصوص
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As- Soff: 4)

- Tawadhuk dan berkasih-mesra (azillah) sesama orang mukmin. Selagi mana seseorang itu beriman maka ia berhak untuk mendapat layanan yang baik dan hendaklah saling berbelas-kasihan, berlemah–lembut, bertoleransi dan tidak banyak membantah.

Pendirian sebegini bukanlah suatu yang hina bahkan ia adalah jalinan ukhuwwah yang melenyapkan segala batas perbezaan, tidak menyusah dan membebankan orang lain; serta menghilangkan kecelaruan dan kekeliruan antara dua jiwa.

Seorang yang jiwanya tidak bersama jamaah dan merasakan dirinya mempunyai suatu kelebihan sentiasa ingin menonjolkan sifat lobanya terhadap orang lain. Adapun mereka yang jiwanya bersama jamaah, sikapnya sentiasa melambangkan kesatuan jiwa. Tidak wujud di dalam jiwanya sebarang prasangka buruk ingin menghina, memperlekeh dan memperkecilkan orang lain. Demikianlah pertemuan yang diasaskan kerana Allah, kasih-sayang mereka sentiasa digandakan. (Sedutan dari Fi Zilal Al Quran: jil 2; ms 919)

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
يحبهم ويحبونه أذلة علي المؤمنين
Maksudnya: Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang beriman. (Al-Maidah: 54)

Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda baginda:
إن أحبكم إلي وأقربكم مني مجلسا يوم القيامة أحاسنكم أخلاقا الموطئون أكنافا الذين يألفون ويؤلفون وإن أبغضكم إلي وأبعدكم مني يوم القيامة الثرثارون المتشدقون المتفيقهون
Maksudnya: Sesungguhnya di kalangan kamu yang paling aku kasihi dan paling dekat denganku di hari kiamat ialah mereka yang paling berakhlak mulia, merendahkan diri yang bermesra dan dimesrai. Orang yang paling aku benci dan paling jauh dengan aku ialah mereka banyak bercakap sehingga berlebih-lebihan (menyebut perkara yang memudharatkan dan tidak mendatangkan manfaat), banyak berbicara tanpa meneliti apa yang diperkatakan dan berpura-pura mengetahui. (Riwayat Ahmad dan At-Tirmiziy)

Golongan yang disukai oleh Rasulullah ialah mereka yang banyak memberi kemudahan kepada orang lain. Menjalinkan ukhuwwah dengan baik dan penuh persefahaman serta keharmonian. Manakala golongan yang dibenci oleh Rasulullah SAW ialah golongan yang hanya mementingkan percakapan yang banyak. Suka membuat pembohongan dan menyebut perkara yang melalaikan. Jelas dari pertuturan yang didengar, mereka kurang menilai apakah hakikat yang diperkatakan dan tanggapan yang dibuat oleh mereka tidak tepat. Berpura-pura memiliki kelebihan tertentu semata-mata ingin menaikkan taraf diri pada pandangan orang lain, dalam masa yang sama tiada usaha yang dilakukan untuk mencapai ketinggian. Ini menunjukan jiwa mereka mengidapi penyakit, dihantui perasaan riya` dan takabbur. Mereka lemah untuk beramal dan bermujahadah bahkan sering menangguh-nanguhkan suatu perkara tanpa sebab-sebab yang munasabah. (Al-Ikhlas: 59-60)

4) Pertautan Akhlak dalam Menjaga Kesucian dan Kehormatan Diri
4.1) Kembali kepada fitrah
Dengan syari’at Islam, masyarakat Islam menjadi masyarakat yang bersih. Islam telah memfardhukan kebersihan luaran dan dalaman, zahir dan batin, pemikiran dan perasaan, pakaian dan tempat tinggal. Islam juga memfardhukan kesucian hati daripada segala penyakit-penyakitnya dan kebersihan lahiriah daripada segala kekotoran. Semua itu adalah selari nilai fitrah insani. Firman Allah SWT:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ
Maksudnya: Maka hadapkanlah diri (wajah) tuan hamba (tuan hamba sendiri dan pengikut tuan hamba), kepada agama itu: dengan secara tekun dan sebenarnya: iaitu agama yang Allah ciptakan manusia dengan keadaaan bersedia semulajadinya untuk menerimanya: tidaklah patut ada apa-apa perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul lurus. (al-Rum, 30).

Menghadapkan “wajah” kepada “agama secara tekun dan sebenarnya” boleh diumpakan seperti jarum kompas yang sentiasa menghala ke arah utara. Kalaulah jarum itu tersekat disebabkan sesuatu yang menghalangnya, maka kita mestilah melepaskannya supaya ia menjadi terlepas bebas semula, supaya ia menunjukkan semula dengan betul kepada kutubnya. Orang yang telah mendapat hak istimewa untuk menerima kebenaran sepatutnya tidak teragak-agak ataupun terseleweng, ia hendaklah menetapkan pendirian sebagai orang yang berpengetahuan. Dengan demikian ia akan terselamat dari adanya pertentangan dalam arah dan pertarungan dalaman diri; selamat dari adanya matlamat yang berkecamuk serta kebelbagaian hala tuju.

Dengan ciptaan kuasa Allah, insan adalah tidak berdosa, murni, benar, bebas, cenderung kepada kebaikan dan sifat yang utama, serta mempunyai kefahaman yang benar berkenaan dengan kedudukannya sendiri dalam alam ini, dan juga tentang Kebaikan Tuhan, Kebijaksanaan, serta kekuasaanNya. Itulah tabiat kejadiannya yang sebenar (keadaaan bersedia semulajadi), sebagaimana kejadian tabiat anak biri-biri itu ialah untuk bersifat lemah lembut, dan kuda untuk bersifat tangkas. Tetapi insan terperangkap dalam pelbagai perangkap adat kebiasaan, kepercayaan palsu, hasrat mementingkan nafsu dan diri, serta pengajaran yang palsu. Ini mungkin menjadikan beliau bengis dan garang, kotor, palsu, bersifat seperti hamba abdi, selalu mencari-cari perkara yang salah dan terlarang, serta terseleweng daripada berasa kasih kepada sesama manusia, dan penyembahan yang sebenarnya kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Benar.

Oleh itu, semua manusia mestilah mengenali fitrah dirinya dan kembali kepadanya. Fitrah tersebut adalah fitrah manusia dan fitrah kewujudan. Untuk mengambil petunjuk daripada fitrah asal manusia itu bukanlah suatu usaha yang remeh, tetapi besar perlu keazaman yang kuat. Padanya seseorang itu dapat hidup dalam keadaan kesejahteraan dan kesepakatan pada dirinya berserta kewujudan yang besar di sekelilingnya. Manusia tidak bersendirian dalam arah tujunya, seluruh alam bersifat rabbani dan masing-masing bertasbih memuji Allah, sebagaimana firman Allah SWT (bermaksud): “Dan tiada suatu pun melainkan bertasbih memujiNya.” (Al-Isra’: 44). Makhluk selain mereka juga menunaikan tanggung jawab dan peranan masing-masing. Binatang ternakan menunaikan peranannya yang berhubung dengan alam ini sesuai dengan fitrahnya. Kita tidak melihat adanya sekor lembu yang menolak untuk diperah susunya, begitu juga seekor unta menolak untuk ditunggangi.. Sesungguhnya binatang-binatang tersebut telah menunaikan peranannya dalam berkhidmat kepada manusia... seperti membajak tanah, mengairi sawah ladang, membawa beban yang berat-berat, mengeluarkan susu, bulu-bulu dan belulang dimanfaatkan sebagai alat perkakas serta perhiasan manusia.

Menghadapkan “wajah” kepada “agama” atau “fitrah” itulah merupakan “agama yang betul lurus”. Yakni melakukan amalan yang betul atau kebiasaan amal yang betul (straight usage). Ia merangkumi seluruh hidup manusia, pemikiran serta hasrat manusia. Sesuatu yang tidak selari dengannya merupakan susunan pemikiran dan kehidupan rekaan yang saling bercanggahan antaranya dengan lainnya. Kesejahteraan hidup insani hanya boleh dicapai melalui pemusatan hala–tuju kepada Allah SWT semata-mata secara lurus.

4.2) Membersihkan diri daripada noda dan dosa
Allah SWT telah menjadikan nafsu dengan segala sifat dan kecenderungan seperti ini adalah untuk menjadikannya sebagai medan pertarungan yang utama dalam menguji ketulusan pengabdian diri hambanya terhadap Allah Ta`ala. Seperti mana Allah telah berfirman:
ونفس وما سواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها
Maksudnya: Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah), lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik. Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jiwanya. Dan merugilah orang yang mengotorkannya. (As Shams: 7 - 10)

Sesiapa yang ingin menjadi hamba kepada Allah maka hendaklah ia melawan hawa nafsunya. Mentaati suruhan Tuhan dan menjauhi segala laranganNya. Orang yang hanyut bersama hawa nafsu dengan segala keinginannya bermakna telah menjadi hamba kepada nafsunya sendiri, sekalipun ia menafikannya.

Tiada siapa yang mampu untuk menafikan bahawa ia lemah ketika berhadapan dengan hawa nafsu dalam menghadapi pelbagai perkara. Nafsu telah mengheretnya ke lembah yang hina. Di sana terdapat perbezaan ketara antara tewas sementara waktu dalam situasi yang berbeza dan tewas yang berpanjangan. Tewas berpanjangan disebabkan oleh kelemahan jiwa yang telah sebati dalam pembentukan dalaman diri manusia. Adalah amat menyedihkan realiti yang kita lihat, membuktikan bahawa ramai manusia yang menjadi tunggangan hawa nafsu. Sangat mudah dan segera mematuhi serta menurut arahan nafsu. Sentiasa lemah ketika berhadapan dengan kehendaknya. Ini semua membuktikan bahawa adanya unsur-unsur kelemahan jiwa di dalam diri insan.

Firman Allah SWT:
ونفس وما سواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها
Maksudnya: Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya. (As Syams: 7 – 10)

Sesungguhnya Allah telah menciptakan pada setiap hambanya nafsu ammarah yang cenderung pada kejahatan untuk menguji sejauh mana tulusnya pengabdian mereka terhadap Allah. Antara sifAt sifat tersebut ialah kejahilan, berlaku zalim dan bersifat bakhil. Semua sifat tersebut cenderung pada kejahatan dan menyimpang dari kebaikan, bencikan kepayahan dan bebanan tanggungjawab.
Allah telah mencipta sifat ini sebagai gelanggang pertarungan dan medan praktis untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah. Tanpa sifat-sifat tersebut nescaya manusia akan menjadi seperti malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah.
Allah menggesa hambanya agar memerangi hawa nafsu dan sebagai habuan kemenangan mereka dalam pertarungan itu dijanjikan keredhaan dan syurga Allah buat mereka. Allah berfirman:
فأما من طغى واثر الحياة الدنيا فإن الجحيم هى المأوى وأما من خاف مقام ربه ونـهى
النفس عن الهوى فإن الجنة هي المأوى..
Maksudnya: Maka barang siapa yang durhaka dan mengutamakan kehidupan di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat kediamannya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka syurgalah tempat kediamannya. (An Naziaat: 38 - 41)

4.3) Memelihara batasan pergaulan dan aurat
Kemurnian hubungan antara lelaki dan wanita adalah satu cabang daripada prinsip kebersihan Islam. Manakala mereka yang inginkan kepincangan dan memandang hubungan sebegini sepertimana yang mereka katakan: “Hubungan biologi adalah suatu yang tabi’ie, tiada padanya sebarang kecelaan dan tiada sebarang ikatan,” sesungguhnya dengan memandang manusia hanya sebagai lelaki atau wanita adalah pandangan yang cetek, sedangkan tersirat di sebaliknya persediaan ke arah kemuliaan dan ketinggian.

Sesungguhnya para pengkaji yang adil, mengetahui dengan yakin, tentang seks rambang yang dialami oleh orang bukan Islam khususnya di barat. Kebanyakan kelab malam, rumah urut dan pusat butik semuanya telah menjadi pusat pelacuran, malah lebih teruk lagi. Kebanyakan kanak-kanak, wanita dan pemuda tidak mengenali bapa mereka. Seorang suami kepada seorang wanita muslimah Amerika ada memaklumkan bahawa isterinya tidak pasti siapa bapanya yang sebenar, bapanya telah menggauli semua anak perempuannya dan dia bersyukur kepada Allah kerana Allah menyelamatkannya.

Sesungguhnya Islam menjaga nasab keturunan dan harta benda, yang merupakan salah satu dari objektif-objektif Islam yang dharuri (mesti) dan hidup ini tidak akan konsisten tanpa unsur-unsur itu. Lantaran itu, para ulama` Islam menamakannya sebagai al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) iaitulah menjaga agama, akal, kehormatan, jiwa, harta, kebebasan dan kemuliaan.

Masyarakat Islam dibangunkan dengan menjaga perkara-perkara dharuri ini, mereka saling tolong-menolong untuk menjaganya, bahkan ia bertanggung jawab untuk memeliharanya demi kesejahteraan dan kelangsungan masyarakat Islam yang bersih.

Antara suatu yang logik, ketetapan akal dan hukum-hakamnya yang jelas ialah jika ditegah dan diharamkan suatu perkara, maka ditegah juga wasilah dan segala sebab-musababnya. Oleh kerana syari’at Islam itu terbina dengan kebijaksanaan akal untuk mendapatkan maslahah, maka sudah tentulah Islam mengharamkan segala wasilah yang membawa kepada suatu yang haram; dan memfardukan wasilah yang membawa kepada suatu yang wajib. Oleh kerana pergaulan bebas tanpa batasan dan pendedahan aurat menjadi medium kepada perkara yang haram dan menjejaskan penjagaan salah satu daripada al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) dalam syari’at Islam; maka pada logik dan syari’at sudah pasti etika-etika yang ditetapkan dalam interaksi sosial dan cara berpakaian adalah menjadi salah satu daripada kefardhuan Islam, adab-adab Islam yang murni dan lambang kebersihan Islam, serta kemuliaan dan ketinggian ISLAM.

Apa yang berlaku terhadap wanita di barat, dan menjadi realiti yang biasa ialah kecenderungan kepada budaya bogel yang primitif. Janganlah pula kita menganggap, wanita-wanita di barat semuanya seperti itu atau ingin menjadi sedemikian. Seorang wanita tua berbangsa Itali telah berkata ketika beliau melihat kesopanan wanita muslimah: “Sesungguhnya kami seperti itu semenjak lima puluh tahun yang silam.” Seorang pengetua sekolah yang sangat beradab sopan pada nisbah orang-orang barat ditanya: “Kenapa kamu berpakaian begini, sedangkan kamu seorang wanita barat dan berstatus tinggi dalam pendidikan dan keilmuan.” Beliau menjawab kehairanan: “Jika seorang wanita berpakaian seksi bermakna dia telah melakukan sesuatu yang di luar tabiatnya.”

Islam telah menetapkan bahawa adanya bahagian yang tertentu menjadi aurat pada diri lelaki dan juga wanita. Ia adalah suatu hukum yang mudah menurut kacamata Islam yang umum; di dalam kehidupan yang terdapat padanya perkara yang diharuskan dan perkara yang ditegah; dengan perspektif umum Islam yang menggesa agar kita menjauhkan diri dari segala godaan dan perkara yang meransang syahwat; yang bermatlamatkan untuk memuliakan manusia dan meninggikan sifat nalurinya, yang ingin menjadikan kuasa yang di tangan seseorang dipandu oleh matlamat syari’at dan hukum-hakam akal….; agar manusia dinaungi dengan kemuliaan. Dan mengangkat darjat manusia daripada semata-mata menjadi seperti haiwan, sekadar makan dan memakai.

Perspektif Islam ini mencakupi lelaki dan wanita. Firman Allah s.w.t:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

Dan firman Allah s.w.t:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (An-Nuur: 31)

Justeru Islam mensyariatkan perkahwinan untuk meraikan kecenderongan seks antara sesama manusia dan membendung segala macam bentuk gejala seksual. Dengan pensyariatan tersebut, insan boleh menyesuaikan dirinya terhadap fitrah seksual dan kecederongan nalurinya dengan cara yang wajar, positif dan terarah… tanpa ada sebarang halangan dan tidak terpengaruh dengan tipu-daya kehidupan, tabiat yang meruncingkan keadaan dan kehendak fitrah yang tidak menentu.

Di antara pandangan yang tepat terhadap seksual kita mendapati Islam mengiktiraf syahwat yang halal dan memenuhi kemahuan naluri dengan perkahwinan. Ia juga dianggap sebagai amalan soleh yang melayakkan seseorang itu mendapat keredhaan Allah dan berhak mendapat ganjaran pahala.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahih Muslim, daripada Abu Dzar Radiallahu‘anhu:
أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ قَالَ عَلَيْهِ الصَلاَةُ وَالسَّلاَمُ: أَوَ لَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ عَلَيْهِ الصَلاَةُ وَالسَّلاَمُ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ قَالُوْا: بَلىَ قَالَ عَلَيْهِ الصَلاَةُ وَالسَّلاَمُ: فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرًا
Maksudnya: “Beberapa orang dari sahabat Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya memperolehi ganjaran. Mereka sembahyang sepertimana kami sembahyang. Mereka berpuasa sepertimana kami berpuasa. Dan mereka juga bersedekah dari lebihan harta mereka.” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah tidak Allah telah memperuntukkan kepada kamu suatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan setiap kali kamu melakukan jimak (dengan isteri kamu) juga adalah sedekah. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah jika seseorang daripada kita menunaikan syhawatnya ia mendapat ganjaran?” Rasulullah menjawab: “Tidakkah kamu merasakan suatu dosa jika ia menunaikan syahwatnya dengan cara yang haram?” Para sahabat menjawab: “Bahkan!!” Rasulullah menjawab: “Demikian juga apabila ia menunaikan syahwatnya dengan cara yang halal.”

4.4) Mengutamakan hak agama Islam:
Apabila berlaku pertembungan antara dua maslahah, iaitu maslahah Islam, jihad dan dakwah dengan maslahah kehidupan, isteri, anak dan harta… maka setiap individu muslim wajib mendahulukan maslahah jihad dan dakwah di atas segala maslahah dunia, kepentingan peribadi, dan perasaan terhadap negara dan keluarga. Ini kerana, membentuk masyarakat Islam, mengukuhkan asas negara Islam dan memberi petunjuk kepada insan yang dalam kesesatan… adalah tujuan utama. Bahkan ia merupakan matlamat dan tujuan yang paling murni. Inilah apa yang nyata dari pendirian Rib‘iy Ibn ‘Amir. Beliau berdiri di hadapan Rustum ketika peperangan al-Qadisiyyah lalu berkata: “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan manusia terhadap manusia kepada penyembahan terhadap Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman pelbagai agama kepada keadilan Islam.”

Terdapat beberapa contoh para salafussoleh mendahulukan maslahah Islam dan jihad di atas segala maslahah peribadi, keluarga dan keturunan. Lebih-lebih lagi, perasaan yang cenderung terhadap keluarga dan isteri-isteri:

- Seorang sahabat yang hatinya penuh keimanan; Hanzalah Ibn Abi ‘Amir yang berkahwin dengan Jamilah Binti Ubaiy pada suatu malam Jumaat. Pada keesokan paginya kaum muslimin di seru supaya keluar ke medan jihad. Sebaik sahaja Hanzalah mendengarnya, beliau terus mengambil pedang, memakai baju perang kemudian menunggang kudanya. Beliau menuju ke medan perang Uhud. Apabila peperangan bermula, beliau bertempur sebagai seorang pahlawan. Setelah barisan kaum muslimin tidak teratur lagi, Hanzalah bertempur di tengah-tengah barisan kaum musyrikin sehinggalah beliau menemui Abu Sufyan. Beliau menyerangnya. Abu Sufyan pun tersungkur. Hanzalah ingin menyembelihnya dengan pedang. Tetapi Abu Sufyan menjerit mememinta pertolongan daripada kaum Quraisy. Suaranya didengari oleh beberapa orang. Mereka menyerang dan memukul Hanzalah sehingga ia terkorban sebagai seorang syahid.

Inilah dia Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, Allah Subhanahu wa ta‘ala telah mendedahkan kepadanya alam ghaib, lalu Baginda bersabda: “Saya melihat malaikat memandikan Hanzalah di antara langit dan bumi dengan air embun di atas bekas yang diperbuat daripada perak.” Para sahabat pun bersegera pergi melihat Hanzalah. Mereka mendapati titisan air pada kepala Hazalah.… Lalu mereka bertanya kepada isterinya mengenai Hanzalah. Isterinya memberitahu bahawa sebaik sahaja beliau mendengar seruan jihad, ia terus keluar dalam keadaan berjunub dan belum sempat mandi wajib, dengan sebab itulah malaikat memandikannya.

- ‘Abdullah Ibn Abi Bakar Radiallahu‘anhuma berkahwin dengan ‘Atikah Binti Zaid. ‘Atikah adalah seorang yang jelita, berakhlak mulia dan sangat beradab. Oleh itu, ia terlewat untuk keluar berperang dan berjihad. Ayahnya Abu Bakar al-Siddiq menyuruhnya agar ia menjatuhan talak ke atas isterinya. Beliau menyatakan sebabnya: “Isteri engkau telah menyebabkan engkau sibuk dengannya dari keluar berperang, maka jatuhkan talak ke atasnya.” Lalu, ‘Abdullah menjatuhkan talak ke atas isterinya. Pada suatu ketika, ayahnya, terdengar beliau mengungkapkan syair:

فلم أرى مثلي طلق اليوم مثلها
ولا مثلها في غير ذنب تطلق
لها خلق جزل ورأي ومنصب
على كبر مني وإني لوامق
Maksudnya:
“Aku belum pernah melihat orang seperti aku yang mentalak wanita yang sepertinya.”
“Ia ditalak bukanlah kerana dosa yang ia lakukan.”
“Ia berbudi pekerti mulia, berfikiran tinggi dan berkedudukan.”
“Sedangkan aku sudah tua, dan hatiku amat menyintainya.”

Seorang ayah mahukan anaknya menceraikan isterinya. Tetapi setelah mendengar ungkapan syair ini, ayahnya menyuruh agar ia merujuk semula isterinya.

Selepas beberapa ketika, ‘Abdullah keluar berperang bersama Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam di Taif. Malangnya ia terkena panah dan meninggal dunia setelah pulang ke Madinah. Semoga Allah meredhainya.

- Al-Tabarani dan Ibn Ishaq meriwayatkan bahawa Abu Khaithamah pulang ke rumahnya setelah bermusafir. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pula telah keluar menuju ke medan peperangan selama beberapa hari. Pada hari itu, cuaca sangat panas. Ia mendapati kedua-dua isterinya sedang berkhemah di kebunnya. Terdapat dua buah khemah. Mereka telah merenjiskan air di sekitarnya. Mereka juga telah menyediakan air yang dingin dan makanan untuk menyambut kepulangan suami mereka. Apabila Abu Khaithamah tiba di sana, beliau berdiri di pintu khemah dan melihat apa yang dilakukan oleh kedua-dua orang isterinya, lalu berkata:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di bawah matahari yang terik dan angin yang panas. Sedangkan Abu Khaithamah di bawah teduhan yang dingin dan di hadapan hidangan makanan yang telah tersedia serta di sampingnya isteri yang jelita!! Ini bukanlah suatu yang adil.”

Beliau berkata lagi: “Demi Allah aku tidak akan masuk ke khemah kamu berdua sehinggalah aku menemui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam terlebih dahulu.” Tanpa berlengah lagi, isteri-isterinya menyediakan bekalan. Abu Khuthaimah bersegera menunggang unta berangkat mengejar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ia menemui Baginda di medan Tabuk.

Tidak syak lagi, sesungguhnya umat Islam dan belia Islam ketika mana mereka mendahulukan cinta kepada Allah, Rasul, jihad di jalan Allah dan berdakwah melebihi segala yang lain di dalam kehidupan ini sama ada mahal atau pun murah; nescaya Allah Subhanahu wa ta‘ala akan memberikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi ini. Menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kelemahan mereka dengan kekuatan. Dunia akan berada di bawah pemerintahan mereka. Manusia seluruhnya akan tunduk kepada arahan dan larangan mereka… Jika mereka menyelewang, maka tunggulah ketentuan daripada Allah Subhanahu wa ta‘ala. Allah akan menurunkan bala dan azab. Allah Subhanahu wa ta‘ala tidak memberi hidayat kepada kaum yang keluar dari batas ketaatan kepadanya, dan terpesong dari petunjuk dan jalan Allah.

Benarlah firman Allah Subhanahu wa ta‘ala di dalam al-Quran:
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Taubah: 24)

Benarlah apa yang difirmankan oleh Tuhan kita yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi di dalam Al-Quran:-
إن هـذا القـران يهـدي للـتى هي أقـوم
Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul. (Al-Isra`: 9)


http://onlinerock.com/services/jailurrashied/kptgn_akhlaq.htm

1 comment:

ismi_azimah89 said...

mohon share.halalkan ye,tq