Monday, May 30, 2011

Carilah kebahagiaan, bukan keseronokan melampau...

Kita perlu mengetahui naluri dan kecenderungan diri, juga mengetahui betapa bahayanya musuh iaitu syaitan, serta mendidik diri supaya sentiasa mengingati perjanjian dan ikatan teguh dengan Allah. Iaitu hanya menyembah Allah semata-mata, tidak yang lain, membersihkan jiwa dengan akhlak dan adab-adab yang baik serta sentiasa berusaha untuk mendidik diri. Saat itu, kitalah orang-orang yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, serta telah melaksanakan mesej misi kehidupan ini.

Firman Allah SWT: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).” (al-A‘raf, 7: 20);

Mendedah aurat adalah perkara mungkar. Sememangnya ia adalah jijik pada tabiat dan dianggap keji pada pandangan akal. Allah SWT telah mewajibkan menutup aurat. Oleh kerana itu, Adam dan Hawa segera menutup aurat. Justeru sesiapa yang mengajak untuk mendedahkan aurat sama ada aurat lelaki atau wanita, bererti ia telah mencabul sifat malu dan mengembalikan manusia kepada kehidupan primitif yang kolot. Di samping itu, ia menjadikan wanita sebagai alat untuk keseronokan dan hiburan. Ia tidak berusaha memelihara kehormatan yang diperintahkan oleh agama dan dituntut oleh fitrah yang sejahtera. Perbuatannya itu boleh disamakan dengan perbuatan syaitan yang difirmankan Allah SWT (yang bermaksud): “…sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua.” (al-A‘raf, 7: 27).

Pujukan iblis mengandungi dua perkara: Bersifat seperti sifat-sifat malaikat dan hidup kekal, tidak mati sama sekali. Kekalnya manusia di dunia bersifat sementara mengikut ajal bermula dari lahir sehingga mati. Di atas muka bumilah, manusia membina kehidupan yang menjadi nikmat terbesar. Ini kerana bumi merupakan tempat kediaman dan berseronok dengan pelbagai perhiasan hidup serta menikmati dengan pelbagai nikmat hidup. Selepas itu kematian akan tiba, kemudian berlaku kebangkitan semula dan keluar dari kubur, kemudian berlaku pula hisab dan pembalasan di alam akhirat.

No comments: