Thursday, September 23, 2010

Kita Satu Umat

Firman Allah SWT:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (al-Baqarah, 2: 213)

FirmanNya lagi:

وَإِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُون فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
"Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah ugama kamu - ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka. (al-Mukminun; 23: 52-53).

Wabak kehinaan dan fitnah yang mencengkam umat Islam masa kini hanya dapat diubati dengan perlaksanaan tuntutan keimanan sepenuhnya. Firman Allah SWT:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). (Ali Imran, 3: 112).

Tanpa keimanan yang mantap, umat Islam akan menjadi hina dan mundur. Firman Allah SWT:
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali Imran, 3: 139).

Jika umat Islam mahu mewarisi kekuasaan di bumi, maka jadilah hamba Allah yang soleh:
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” (al-Anbiya’: 21: 105).

Segala urusan di dunia ini mestilah dilakukan dengan menepati etika sebagai HAMBA ALLAH YANG SOLEH. Tuntutan pengabdian dan perhambaan diri kepada Allah mestilah ditunaikan sepenuhnya. Kemuliaan insan yang sebenar hanya dengan mengHAMBAkan diri kepada Allah SWT. Perkara agama mestilah ditaati dan diikuti sepenuhnya, tidak boleh direka-reka mengikut andaian sendiri, hanya dalam perkara dunia sahaja manusia boleh mereka-cipta. Asas dalam perkara agama ialah ittiba’ (mengikut), asas dalam perkara dunia ialah ibtida’ (melakukan pembaharuan). Perkara agama yang sudah muktamad tidak boleh dipertikai atau dipersoalkan: "Kenapa?" Perkara yang perlu diketahui adalah sekadar "Bagaimana?". Tidak wajar ditimbulkan isu "Kenapa perlu dilaksanakan" sebab ia sememangnya mesti dilaksanakan. Sewajarnya, perkara yang menjadi isu ialah "Bagaimana hendak dilaksanakan?"

Firman Allah SWT:
قُلْ أَتُعَلِّمُونَ اللَّهَ بِدِينِكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: “Kami telah beriman)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Hujurat; 49: 16).

Kekuasaan di bumi hanya dapat dicapai dengan pelaksanaan syarat-syarat yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al-Hajj, 22: 41).

Menerusi ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang yang membela dan memperjuangkan agama Allah ialah orang yang menunaikan syarat mendapat kekuasaan di bumi iaitu:

1) “mendirikan sembahyang”: Melaksanakan ibadah khusus dan mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
2) “memberi zakat”: Menjana kekuatan ekonomi.
3) “menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar”: Memelihara keharmonian sosial dan menjaga hubungan baik sesama insan.

SATU umat Islam diseru supaya bersatu-padu di atas SATU landasan, iaitu landasan ajaran Islam. Janganlah mengikut-ikut atau menciplak ajaran selain Islam kerana ia mengakibat umat akan berpecah-belah dan menjadi lemah. Kini SATU umat Islam menjadi lemah dan berpecah-belah kerana mereka jauh dari pengamalan SATU agama. Mereka terlalu memperbesarkan urusan dan kepentingan peribadi daripada urusan dan kepentingan SATU agama. Demi membina jatidiri dan kekuatan umat, hendaklah kita berSATU di atas SATU ajaran Islam. Yakinilah bahawa tiada ajaran lain yang dapat menyatukan umat melainkan SATU ajaran, iaitu ajaran Islam, tiada lagi sumber kekuatan melainkan dapat diperolehi dengan mengikut SATU ajaran Islam secara total.

No comments: