INSAN TELADAN
Wahai para pemuda! Saya kemukakan dua contoh yang besar mengenai kesucian dan budi pekerti luhur, agar dapat diikuti dan diteladani:
i) Nabi Yusof ‘Alaihissalam adalah seorang pemuda yang masih remaja, tampan dan kacak. Seorang wanita jelita yang berpangkat telah menggodanya di dalam sebuah bilik yang tertutup. Dengan kata lain, jalan-jalan untuk melakukan perkara yang terkeji itu telah terbuka seluas-luasnya, seperti mana yang dihikayatkan oleh al-Quran:
وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ وَغَلَّقَتْ الأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ
Maksudnya:
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu.”
Apakah pendirian Islam terhadap godaan seperti ini. Ia adalah fitnah yang mengabui pandangan?
Adakah jiwa Nabi Yusof ‘Alaihissalam menjadi lemah lalu berserah dan mengkhianati kehormatan yang diamanahkan kepadanya? Tidak sekali-kali, sesungguhnya Allah Subhanahu wa ta‘ala telah berfirman:
قَالَ: مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya:
“Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”
Isteri pembesar itu telah cuba membuat tipu-daya dan perancangan jahat. Ia menggunakan segala apa yang ada padanya sama ada dengan cara menggoda atau mengancam untuk melembutkan kekerasan Nabi Yusof ‘Alaihissalam dan menurunkannya dari tahta kemulian. Akhirnya wanita itu mengisytiharkan kepada suatu kumpulan wanita dengan perasaan sempit dada dan amat marah:
وَلَقَدْ رَاوَدتُّهُ عَنْ نَفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونَ مِنَ الصَّاغِرِينَ
Maksudnya:
“Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”
Akan tetapi, pemuda yang bernama Nabi Yusof ‘Alaihissalam menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu wa ta‘ala secara total dengan memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu wa ta‘ala:
رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنْ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya:
“Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.”
Itulah fitnah di antara hati seorang mukmin yang takutkan Allah dengan godaan dosa. Maka gagallah godaan dan menanglah keimanan.
ii) Seorang wanita pada zaman pemerintahan ‘Umar Ibn al-Khattab Radiallahu‘anhu, suaminya telah lama keluar pergi berjihad. Hati wanita itu amat merinduinya kerana tinggal bersendirian. Pelbagai bisikan mengancamnya. Darah kewanitaannya telah mulai memberontak. Keinginan nalurinya semakin memuncak. Tiada apa yang dapat menghalangnya dari melakukan perkara yang haram itu melainkan dinding keimanannya dan kesedaran pengawasan diri terhadap Allah. Pada suatu malam gelap gelita Saidina ‘Umar telah mendengar wanita itu bermadah:
لقد طال هذا الليل واسود جانبه
وأرقني ألا حبيب ألاعبه
فوالله لو لا الله تخشى عواقبه
لحرك من هذا السرير جوانبه
Maksudnya:
“Malam ini telah berpanjangan dan segenap penjurunya sangat gelap; namun amat menyedihkan aku kerana tiada kekasih yang dapatku bermanja dengannya.”
“Demi Allah, kalaulah tidak kerana takutkan balasan daripada Allah nescaya penjuru-penjuru katil ini akan bergoncang.”
Pada hari yang berikutnya, ‘Umar Radiallahu‘anhu menemui anak perempuannya Hafsah Ummul Mukminin seraya bertanya: “Berapa lamakah seorang isteri sanggup bersabar jika suaminya tiada di sisinya?” Beliau berkata: “Empat bulan”
Khalifah ‘Umar pun mengutuskan wakilnya kepada pemimpin-pemimpin tentera yang sedang berada di medan perang. Beliau menyuruh mereka agar tidak menghalang seorang tentera pun daripada berusua keluarganya lebih dari empat bulan.
Itulah fitnah di antara rasa ketakutan wanita mukminah kepada Allah dengan ransangan yang menarik kepada dosa dan maksiat. Akhirnya, ransangan itu tewas dan menanglah iman.
EMPAT PERKARA PILIHAN
Saya bawakan di sini kata-kata yang menarik oleh penulis agung Ustaz ‘Ali al-Tantawi. Ianya menggambarkan satu corak kesedaran Islam semasa kepada para pemuda. Suatu contoh yang unggul kepada orang yang mempunyai kefahaman yang mendalam dan ia adalah penawar yang menenangkan kerana terkandung di dalamnya kebenaran yang berhikmah dan pengajaran yang baik.
Beliau mengatakan di dalam risalahnya yang bertajuk: “Wahai Anakku”:-
Kenapa kamu menulis kepadaku secara tidak tegas dan malu-malu?
Adakah kamu menyangka kamu sahaja yang merasa kepanasan syahwat, dan tiada orang lain lagi yang meresa sedemikian?!
Tidak, wahai anakku, bertenanglah! Perkara yang engkau adukan bukanlah dialami oleh engkau sahaja, tetapi ia adalah penyakit yang menimpa semua orang muda. Sekiranya aku berpeluang menjampi untuk menghilangkan apa yang dialami oleh engkau, sedang engkau berusia tujuh belas tahun, sudah pasti telah lama aku menjampi mereka yang selain daripada engkau, sama ada mereka yang masih kecil atau telah besar. Malangnya, telah berlarutan gejala hilangnya dari mata mereka kelazatan rasa mengantuk, pelajar melarikan diri daripada pembelajaran, pekerja melarikan diri daripada pekerjaannya, dan peniaga melarikan diri daripada perniagaannya.
Apakah yang harus dilakukan oleh golongan muda dalam jangka usia seperti ini. Iaitulah usia membaranya api syahwat sehingga menggegarkan seluruh badan, yang membuatkan seseorang itu sentiasa resah dan gelisah.
Apakah yang mesti ia lakukan? Inilah masalahnya.
Sunnatullah dan tabiat diri mengatakan kepadanya: “Berkahwinlah.”
Manakala situasi masyarakat dan cara-cara pendidikan mengatakan: “Pilihlah salah satu daripada tiga perkara, semuanya adalah buruk. Awasilah yang keempat, janganlah kamu berfikir tentangnya; sedangkan ia adalah baik, iaitulah perkahwinan.”
i) Sama ada jiwa engkau melayani sangkaan-sangkaan yang tercetus dari naluri dan impian syahwat. Engkau memikirkannya berpanjangan, engkau menyuburkannya dengan cerita-cerita atau filem-filem lucah dan gambar-gambar pelacur. Semua itu menguasai diri, pendengaran dan penglihatan engkau. Ke mana sahaja engkau menjatuhkan pandangan, tiada lain yang engkau ternampak melainkan gambar-gambar yang menggoda dan menipu-daya. Ianya kelihatan di dalam buku ketika mana engkau membukanya. Ianya kelihatan di permukaan bulan ketika engkau memandangnya. Ianya kelihatan di ufuk merah, di kegelapan malam, di dalam mimpi sedar dan mimpi ketika tidur…
أريد لأنسى ذكرها فكأنما
تمثل لي بكل سبيل
Maksudnya:
“Aku ingin melupakannya dari ingatanku, tetapi ia menjelma kepadaku dengan pelbagai cara.”
Hal ini tidak berkesudahan sehinggalah ke peringkat berahi, gila seks dan mengidap penyakit jiwa.
ii) Ataupun kamu melakukan apa yang disebut sebagai ‘kebiasaan yang rahsia’ iaitulah melancap. Para ulama feqah dan penyair telah memperkatakan tentang perkara ini. Meskipun kesan buruknya paling ringan daripada tiga bahaya yang disebut di sini, jika seseorang itu melakukannya secara berlebih-lebihan ia akan merunsingkan diri, menyakitkan badan sehingga pemuda itu kelihatan seperti seorang yang sudah terlalu tua dan tersangat sedih, dan manusia akan melarikan diri daripadanya. Ia juga merasa takut untuk bertemu dengan orang, takut untuk hidup dan melarikan diri daripada cabaran hidup. Orang yang sebegini dianggap telah mati walaupun ia masih hidup.
iii) Ataupun kamu mendambakan diri di lembah kelazatan yang haram. Menyusuri jalan kesesatan. Bermalam di rumah pelacur. Merosakkan kesihatan, usia muda, masa hadapan dan agama dengan kelazatan yang palsu dan sementara. Dari itu, sijil yang ingin diperolehi gagal dicapai, tugas yang dicita-citakan gagal dilaksanakan, ilmu di dada pula tidak dapat ditambah. Tiada lagi faedah dari kekuatan dan usia muda yang ada untuk dijadikan bekal melaksanakan kerja sebagai manusia merdeka.
Dalam hal ini, janganlah kamu merasa telah puas. Tidak sekali-kali. Setiap kali kamu mendapat sesuatu yang kamu inginkan, kamu tamakkan suatu yang lain pula. Seperti orang yang minum air yang masin, ianya akan terus menambah dahaga. Sekiranya engkau telah berpuas dengan seribu wanita, kemudian kamu cintakan seorang lagi wanita lain, sedangkan ia ingin menjauhkan diri daripada engkau, nescaya engkaukan akan terus mengidamkannya dan merasa keperitan dengan kehilangannya, seperti apa yang dirasai oleh orang yang tidak pernah bertemu dengan wanita, walaupun sekali.
Seandainya engkau mendapat semua yang diidam-idamkan, engkau juga berkeupayaan dan mempunyai harta yang cukup, adakah jasad engkau terdaya melayani semuanya? Adakah kesihatan engkau berupaya menanggung segala tuntutan syahwat?
Pada saat itu, segala kekuatan jasad akan tersungkur. Berapa ramai mereka yang kuat perkasa dan telah menjadi jaguh dalam tinju, gusti, lontar jauh, lumba lari dan lain-lain; tewas setelah tunduk kepada syahwat dan terheret dengan ajakan naluri sehinggalah tiada lagi apa-apa kekuatan pada mereka.
Sesungguhnya di antara keajaiban hikmah Allah Subhanahu wa ta‘ala, setiap kebaikan diiringi dengan kebaikan dan kecergasan. Dan setiap kejahatan diiringi dengan kemunduran dan penyakit. Kemungkinan seorang yang tidak menjaga kesucian diri apabila menjangkau usia tiga puluh tahun, ia kelihatan seperti telah berusia enam puluh tahun. Manakala orang yang menjaga kesucian dirinya apabila menjangkau usia enam puluh tahun ia kelihatan seperti pemuda yang berumur tiga puluh tahun.
Antara pepatah orang Barat yang pernah kita dengar, sememangnya ia hak dan benar: “Sesiapa yang memelihara mudanya, maka tuanya akan memeliharanya.” Pepatah ini mengingatkan saya kepada apa yang telah diriwayatkan daripada salah seorang salafussoleh: “Kami telah memelihara anggota-angota ini pada waktu muda, maka Allah memeliharanya pada waktu tua.”
Saya merasakan seolah-olah anda berkata: “Ini adalah penyakit, apakah pula ubatnya?”
Ubatnya, ialah perlunya anda kembali kepada sunnatullah dan tabiat khusus pada sesuatu. Allah Subhanahu wa ta‘ala tidak mengharamkan sesuatu melainkan digantikan dengan suatu yang lain. Allah Subhanahu wa ta‘ala mengharamkan riba dan menghalalkan jual-beli. Allah mengharamkan zina dan menghalalkan perkahwinan. Maka, penawar yang sebenar ialah berkahwin.
Sekiranya, tidak mampu berkahwin, awasilah diri dengan menjaga kehormatan. Saya tidak ingin mengikat topik ini dengan istilah-istilah ilmu jiwa.
PERUMPAMAAN DIKEMUKAKAN OLEH SYEIKH ALI TANTAWI
Lihatlah cerek teh yang dipanaskan di atas api?!
Jika engkau menutup cerek itu dengan rapat lalu meletakkannya di atas api, nescaya wap panas yang terperangkap akan meledak. Sekiranya engkau menebuk lubang pada cerek itu, nescaya air akan meleleh keluar, akhirnya cerek akan terbakar. Apabila engkau sambungkan cerek itu dengan tangkai pemegang, ianya boleh dikawal dengan lebih elok dan selesa.
Keadaan pertama adalah perumpamaan orang yang menyembunyikan syahwat di dalam dirinya. Ia juga sentiasa berfikir dan termenung mengingatkannya.
Keadaan kedua adalah perumpamaan orang yang mengikut jalan yang sesat dan memuaskan dirinya dengan kelazatan yang haram.
Keadaan ketiga adalah perumpamaan orang yang menjaga kehormatan diri. Orang yang menjaga kehormatan diri ialah orang yang menghargai tenaga rohani, akal, hati dan jasadnya. Ia menggunakan segala kekuatan yang tersimpan sepenuhnya. Ia mengeluarkan tenaga yang ada untuk menuju kepada Allah, memperbanyakkan ibadat, membiasakan diri dengan pekerjaan dan menumpukan perhatian membuat kajian. Ia juga menggunakan tenaga jasadnya untuk aktif dalam melakukan latihan kesukanan dan juga latihan pendidikan agama.
Seseorang insan itu – wahai anakku – menyintai dirinya sendiri. Ia tidak mendahulukan orang lain daripada dirinya. Apabila ia berdiri di hadapan cermin dan melihat kebulatan dua belah bahunya, ketegapan dadanya, dan kekuatan dua tangannya; ia merasakan kekuatan tubuh-badannya yang setanding ahli sukan lebih ia sukai dari setiap jasad wanita. Ia tidak ingin mempersia-siakannya dengan menghilangkan kekuataan dan melemahkan otot-otot sehingga tinggal kulit dan tulang sahaja; demi kerana pemudi yang bermata hitam atau bermata biru.
Inilah ubatnya: Perkahwinan adalah penawar yang sempurna. Jika ia tidak mampu berkahwin, maka menjaga kehormatan diri adalah penawar sementara. Tetapi ia adalah penawar yang kuat, bermanfaat dan tidak memudharatkan.
Manakala apa yang diperkatakan oleh mereka yang lalai dan ahli perosak: Penawar penyakit masyarakat adalah membiasakan pergaulan bebas dua jenis jantina sehinggalah hilang ketajaman syahwat. Mereka mencadangkan supaya dibuka kelab-kelab awam agar tiada lagi rumah-rumah pelacur yang tersembunyi. Ini adalah ‘cakap kosong’. Kaum kuffar seluruhnya telah mencuba pergaulan bebas, tetapi tiada apa yan bertambah selain syahwat dan fasad. Sekiranya kita membenarkan kelab-kelab awam dibuka, ia perlu diperluaskan untuk semua golongan muda. Jika begitu, di bandar Kaherah sahaja perlu wujud sepuluh ribu pelacur. Kerana di Kaherah terdapat seratus ribu orang muda sekurang-kurangnya.
Sekiranya kita mengharuskannya kepada pemuda maka mereka tidak perlu lagi berkahwin. Apakah pula yang perlu dilakukan kepada pemudi? Adakah perlu kita membuka kelab-kelab awam yang terdapat di dalamnya pelacur-pelacur lelaki untuk mereka?
Demi Allah, itulah ‘cakap kosong’, wahai anakku!
Apa yang mereka luahkan itu bukanlah lahir dari akal tetapi dari bisikan hati. Mereka tidak ingin membaik-pulih akhlak, membangunkan kaum wanita, mengembangkan tamadun, membangkitkan semangat kesukanan dan membentuk kehidupan yang sempurna. Itu hanyalah ucapan yang diluahkan. Setiap hari direka lafaz yang baru. Ia menjadi momokan manusia hasil daripada propaganda yang mereka lakukan. Apa yang mereka mahukan hanyalah mengeluarkan anak-anak perempuan dan saudara-saudara perempuan kita agar jasad mereka yang zahir dan yang tersembunyi menjadi hidangan mata para pemuda. Seterusnya, mereka merasai keenakan yang halal dan haram. Para pemuda menemani para pemudi secara bersendirian ketika bermusafir. Mereka juga menginginkan kaum lelaki menghadiri majlis tari menari bersama kaum wanita di dalam pelbagai majlis. Sebahagian ibu bapa terpedaya dengan dakyah seperti ini, lalu menggadai maruah mereka agar dikenali sebagai orang yang bertamadun.
Oleh itu, kamu hendaklah berkahwin, wahai anakku. Sekiranya engkau masih lagi belajar dan tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin, maka berpegang-teguhlah kepada Allah dengan mentakutiNya, ‘menenggelamkan’ diri dengan ibadat, belajar, kesenian dan sukan. Ia adalah penawar yang terbaik.
Wahai pemuda dan pemudi!!
Inilah satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah seksual yang kamu hadapi. Berwaspadalah kamu dengan dakyah-dakyah yang dibuat oleh golongan yang mendakwa memperjuangkan kemajuan. Mereka menghias perkara mungkar dan mengindahkan maksiat. Mereka telah mengatakan: Sesungguhnya penyelesaian bagi masalah mendidik naluri ialah dengan pergaulan bebas sejak kecil atau memuaskan kehendak naluri dengan cara yang haram.
Sebenarnya mereka mengatakan suatu yang mereka sendiri tidak fahami dan berbangga dengan suatu yang mereka tidak ketahui. Tanpa disedari, mereka adalah pelaksana perancangan Yahudi dan Salib dan pakatan jahat Freemason dan Komunis. Mereka cuba menarik para pemuda dan pemudi di dalam masyarakat Islam ke kancah maksiat dan kebebasan mutlak. Untuk apakah mereka lakukan semua ini?
Mereka ingin menjauhkan pemuda Islam dari barisan-barisan pejuang dan panji-panji jihad.
Mereka ingin menundukkan kepala pemuda Islam kepada kekuasaan taghut dan zalim.
Mereka juga ingin pemuda Islam bertepuk tangan dan mengalu-alukan apa jua slogan yang dilaungkan, dan menerima pemerintahan mulhid (Tidak bertuhan) atau kufur terhadap Allah Subhanahu wa ta‘ala.
Mereka ingin menjadikan pemuda Islam sebagai binatang ternakan yang diseret dengan tongkat penguasa durjana.
Awasilah – wahai para pemuda – daripada dakyah-dakyah yang menipu ini. Bentengilah diri dengan kesabaran. Ikatlah hati kamu dengan Allah Subhanahu wa ta‘ala. Letakkan mahkota kemuliaan Islam di atas kepala kamu. Tolak secara total segala seruan kebebasan mutlak yang pincang dan keangkuhan mulhid. Dengarlah apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta‘ala di dalam al-Quran yang diturunkan:
وَلاَ تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
Maksudnya:
“Janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”
PERUMPAMAAN DI DALAM SYAIR IMAM BUSAIRI
Siapakah kiranya yang dapat menolongku untuk mengawal keganasan nafsuku, seperti kuda yang garang itu dapat dikawal dengan tali hidungnya.
Maka janganlah engkau sekali-kali mengharapkan nafsu itu dapat dikalahkan dengan memperturut kehendaknya, bagaikan makanan tidak akan dapat memuaskan nafsu makan, bahkan ia akan ketagihan bila diberi makan.
Nafsu itu tak ubahnya seperti anak kecil yang masih menyusu. Kalau ia dibiarkan ia akan terus menyusu sampai ke tua. Tetapi jika engkau berhentikan, ia akan berhenti.
Maka kendalikanlah hawa nafsumu dan jangan diberikan kesempatan kepadanya untuk menguasai engkau, kerana jika ia berkuasa sudah pasti ia akan membuta dan menulikan.
Jagalah nafsumu baik-baik walaupun ia telah berlegardalam ruang ketaatan, kerana bila sudah menguasai suasana ia akan mengosongkan tujuan ketaatan. Maka janganlah engkau lengah dari mengawasinya.
Berapa banyak ia telah menipu orang. Ia menyajikan makanan yang kelihatannya segar, padahal di dalamnya ada racun yang membunuh. Bukankah racun itu selalunya diletakkan pada makan yang lemak-lemak (sedap).
Saturday, November 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
aslkm...
saya suka tips yg diberikan oleh saudara, kena pada kehidupan saya & mberi jalan utk mjadi insan yg lbh baik.
saya nk tanya, bagaimana pula ya sekiranya anak lelaki mau kahwin ttp ayahnya shj yg semacam tidak berkenan pada pilihan anaknya walhal pd pndgan pemuda tersebut wanita berkenaan mpunyai ciri2 blh jd isteri yang baik? ahrp dpt beri tips yg mbina.
trima ksh sya dahului & semuga apa jua yg anda lakukan beroleh keberkatan dariNya. wslmz...
Post a Comment