Monday, May 30, 2011

Mahu ikut fesyen maksiat atau agama Islam?!

إِنَّ اللَّهَ يَغَارُ وَإِنَّ الْمُؤْمِنَ يَغَارُ وَغَيْرَةُ اللَّهِ أَنْ يَأْتِيَ الْمُؤْمِنُ مَا حَرَّمَ عَلَيْهِ
Sesungguhnya Alah Ta’ala cemburu dan orang mukmin juga cemburu. Kecemburuan Allah bila seorang mukmin melakukan apa yang diharamkan oleh Allah” (Hadis dilaporkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah)

Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ ...
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka... (An-Nuur: 31)

Wanita-wanita Islam diperintahkan menutupkan dan mengulurkan penutup kepalanya sehingga dapat menutupi leher dan dadanya. Bahagian dada dan belahan dadanya tidak boleh didedahkan sebagaimana yang dilakukan wanita-wanita jahiliah.

Wanita berpakaian ketat di hadapan mahramnya (kerabat si wanita yang haram menikahinya) dan di hadapan wanita lain saja tidak boleh. Apalagi di hadapan lelaki lain. Masalah wanita berpakaian ketat ini ditegaskan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي رِجَالٌ يَرْكَبُونَ عَلَى السُّرُوجِ كَأَشْبَاهِ الرِّجَالِ يَنْزِلُونَ عَلَى أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ نِسَاؤُهُمْ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ عَلَى رُءُوسِهِمْ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْعِجَافِ الْعَنُوهُنَّ فَإِنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ
Maksudnya: “Akan ada di akhir ummatku orang-orang yang naik di atas pelana seperti orang-orang besar, mereka singgah di depan pintu-pintu masjid, wanita-wanita mereka berpakaian namun telanjang, di atas kepala mereka ada semacam punuk unta, laknatlah mereka karena sesungguhnya mereka itu terlaknat.” (Hadis riwayat Ahmad. Al-Haitsami berkata: Para periwayat Ahmad dinilai Sahih).

Sabda Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam “kasiyat ‘ariyat” telah ditafsirkan:
- Berpakaian dengan pakaian pendek yang tidak menutupi aurat yang harus ditutup.
- Mengenakan pakaian tipis yang tidak menutupi kulitnya dari pandangan di baliknya.
- Pakaian ketat yang memang menutupi kulit dari pandangan namun tetap menampakan lekuk dan bentuk kemolekan tubuh wanita.

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam lagi:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “Dua golongan termasuk ahli neraka, aku belum pernah melihat mereka; satu kaum (penguasa) yang membawa cambuk (besar) seperti ekor lembu, dengannya mereka memukul manusia; dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, menggoda dan melenggok-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati aromanya, padahal aromanya boleh didapat dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang dua fenomena: Sadisme dan Pornoaksi. Golongan pertama adalah kaum lelaki sedangkan golongan kedua adalah kaum wanita. Antara kedua golongan yang berlawanan jenis ini tentu sahaja ada interaksi. Ini kerana, dalam suatu komuniti masyarakat yang banyak dijumpai wanita-wanita seperti golongan kedua, pasti akan banyak terjadi perkosaan, kekerasan, sadisme, pergolakan dan penganiayaan seperti yang dilakukan golongan pertama.

Golongan pertama menggunakan kekerasan sebagai senjatanya sedang golongan kedua menggunakan kelembutan (keindahan) sebagai senjatanya. Golongan kedua sering berselindung di balik istilah moden, seni dan keindahan, untuk menipu manusia. Orang sering mengutuk perbuatan golongan pertama dengan kata-kata kejam, sadis dan buas, tetapi menyanjung golongan kedua dengan sebutan seperti artis, ratu kecantikan dan wanita moden.

Justeru perlu diingat bahawa tidak mendedahkan diri kepada khalayak adalah lebih baik daripada berdedah dengan perhiasan seperti orang yang jahil agama. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah.” (Al-Ahzab: 33)

Carilah kebahagiaan, bukan keseronokan melampau...

Kita perlu mengetahui naluri dan kecenderungan diri, juga mengetahui betapa bahayanya musuh iaitu syaitan, serta mendidik diri supaya sentiasa mengingati perjanjian dan ikatan teguh dengan Allah. Iaitu hanya menyembah Allah semata-mata, tidak yang lain, membersihkan jiwa dengan akhlak dan adab-adab yang baik serta sentiasa berusaha untuk mendidik diri. Saat itu, kitalah orang-orang yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, serta telah melaksanakan mesej misi kehidupan ini.

Firman Allah SWT: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).” (al-A‘raf, 7: 20);

Mendedah aurat adalah perkara mungkar. Sememangnya ia adalah jijik pada tabiat dan dianggap keji pada pandangan akal. Allah SWT telah mewajibkan menutup aurat. Oleh kerana itu, Adam dan Hawa segera menutup aurat. Justeru sesiapa yang mengajak untuk mendedahkan aurat sama ada aurat lelaki atau wanita, bererti ia telah mencabul sifat malu dan mengembalikan manusia kepada kehidupan primitif yang kolot. Di samping itu, ia menjadikan wanita sebagai alat untuk keseronokan dan hiburan. Ia tidak berusaha memelihara kehormatan yang diperintahkan oleh agama dan dituntut oleh fitrah yang sejahtera. Perbuatannya itu boleh disamakan dengan perbuatan syaitan yang difirmankan Allah SWT (yang bermaksud): “…sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua.” (al-A‘raf, 7: 27).

Pujukan iblis mengandungi dua perkara: Bersifat seperti sifat-sifat malaikat dan hidup kekal, tidak mati sama sekali. Kekalnya manusia di dunia bersifat sementara mengikut ajal bermula dari lahir sehingga mati. Di atas muka bumilah, manusia membina kehidupan yang menjadi nikmat terbesar. Ini kerana bumi merupakan tempat kediaman dan berseronok dengan pelbagai perhiasan hidup serta menikmati dengan pelbagai nikmat hidup. Selepas itu kematian akan tiba, kemudian berlaku kebangkitan semula dan keluar dari kubur, kemudian berlaku pula hisab dan pembalasan di alam akhirat.