Friday, October 30, 2009

Menongkah Arus Dunia Dengan Kemudi Ukhrawi

Sifat-sifat individu muslim memperlihatkan dan menunjukkan perasaan hormat kepada semua orang-orang Islam. Ia juga mesti mengetahui kelemahan, keburukan, kekurangan diri dan penyakit rohani dan kecenderungan dirinya. Namun syaitan telah menggoda manusia dalam urusan dunia, jiwa dan nafsu sehingga menyebabkan manusia melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diredhai Allah SWT. Manusia juga terjebak melakukan perbuatan-perbuatan tersebut dengan dorongan dari dalam jiwanya sendiri, umpamanya untuk mencapai satu tujuan kebendaan dan urusan dunia.

Kini manusia menfokuskan perhatian kepada fahaman-fahaman yang aneh dan ungkapan-ungkapan ideologi yang mengkaburkan pemahaman. Mereka mendengarkan pernyataan sejarah yang menganggap manusia hanyalah sebagai modal utama perekonomian di tengah-tengah dunia global. Jika satu saat mereka merasa lemah atau ingin memperoleh keuntungan yang bersifat kebendaan, maka ditempuhlah dengan perbagai cara tanpa mengendahkan hukum syarak, umpamanya dengan cara menindas orang, berhasad-dengki, mengumpat, menghasut dan membuat kerosakan sekalipun.

Faktor yang dapat membendung kemelut seperti ini ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik. Sementara punca penularannya ialah nafsu dan syahwat. Hal ini adalah sebagaimana yang disabdakan nabi s.‘a.w mengenai perkara yang banyak membawa manusia ke syurga dan perkara yang banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: Nabi s.‘a.w ditanya: Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan manusia masuk syurga? Jawab baginda: Taqwa dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi: “Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan manusia masuk neraka?” Baginda menjawab: “Dua rongga iaitu mulut dan faraj.” (Sunan Ibn Majah).

Tindakan Penyelesaian:

1) Menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah:

“Wahai anak Adam tumpukanlah untuk beribadat kepadaku, pasti Aku akan penuhkan dadamu dengan kekayaan, aku lenyapkan kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukan demikian pasti aku penuhkan dada kamu dengan kesibukan dan aku tidak lenyapkan kefakiran kamu.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah).

2) Membataskan keinginan:


“Sesiapa yang meletakkan keinginannya hanya satu (semata-mata untuk akhiratnya), pasti Allah memberikan kecukupan pada keinginan dunianya. Sesiapa yang keinginannya bercabang-cabang (dalam hal ehwal dunia), Allah tidak mempedulikannya di lembah dunia mana sekalipun ia binasa.” (Diriwayatkan daripada Ibn Umar di dalam Syu‘ab al-Iman).

3) Tidak menjadikan dunia sebagai keinginan yang utama:

"Hindarkanlah sepenuhnya dari keinginan terhadap dunia sedaya-upaya kamu. Sesiapa yang keinginan dunianya lebih besar, pasti Allah membebankan tanggungjawabnya dan mendedahkannya kepada kemiskinan. Sesiapa yang keinganan akhiratnya lebih besar, pasti Allah memperkemaskan urusannya dan memberikan kekayaan di hatinya. Tidak seseorang hamba mendampingi Allah dengan hatinya melainkan Allah menjadikan hati orang-orang beriman cenderung kepadanya dengan kemesraan dan kasih-sayang, di samping itu Allah segera memberikan segala kebaikan kepadanya." (Sabda Rasulullah s.‘a.w diriwayatkan daripada Abu Darda’ di dalam Mu‘jam al-Tabarani)



4) Membersihkan jiwa dengan berserah kepada Allah SWT. Nabi s.‘a.w. berdoa:


"Wahai Tuhanku, berikanlah taqwa kepada jiwaku dan bersihkannya kerana Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya, Engkaulah penguasanya dan Engkaulah penaungnya." (Diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad daripada ‘Aisyah katanya: Aku mendapati Nabi s.‘a.w. tiada di tempat tidurnya. Kemudian ‘Aisyah menyentuh baginda dengan tangannya dan mendapati baginda sednag bersujud sambil berkata: “Doa di atas.”).

5) Meningkatkan kecintaan kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. Nabi s.‘a.w. berdoa:


"Wahai Tuhanku, aku pohon daripadaMu kasihMu, dan kasih mereka yang kasihkanMu, dan aku pohon amalan yang boleh menyampaikanku kepada kasihMu. Wahai Tuhanku, jadikan kasihMu lebih dicintaiku daripada diriku, daripada keluargaku dan daripada air yang dingin." (Diriwayatkan daripada Abu Darda’ di dalam Sunan al-Tirmizi bahawa sabda Rasulullah s.‘a.w: Antara doa Nabi Daud a.s. ialah: “Doa di atas.”)

6) Segala perkara yang disukai dan tidak disukai digunakan untuk kecintaan kepada Allah SWT. Nabi s.‘a.w. berdoa:


Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku kasihMu dan kasih-sayang yang berguna kepadaku kasihnya di sisiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang telah Engkau kurniakan kepadaku maka jadikannya tenaga kekuatan bagiku untuk melaksanakan amalan-amalan yang disukaiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang Engkau jauhkan dariku maka jadikanlah kekosongan itu untuk aku melaksanakan amalan yang disukaiMu. (Diriwayatkan daripada Abdullah bin Yazid al-Khatmi al-Ansari di dalam Sunan al-Tirmizi bahawa Rasulullah s.‘a.w mengatakan di dalam doanya: “Doa di atas.”).

7) Menyuruh kebaikan dan melarang kemungkaran, memelihara diri sendiri ketika kepincangan berleluasa, dan juga bersabar.


"Hendaklah kamu menyuruh kepada makruf dan menegah kemungkaran sehinggalah kamu melihat orang yang bakhil ditaati, hawa nafsu diikuti, dunia lebih diutamakan, orang yang pandai merasa takjub dengan pandangannya sendiri. Saat itu hendaklah kamu memelihara dirimu sendiri dan biarkanlah orang lain (berusaha agar tidak terbabit dengan empat perkara yang membinasakan yang disebutkan). Ini kerana selepas kamu akan berlaku zaman di mana orang yang bersabar seperti orang yang menggenggam bara. Bagi orang yang beramal di kalangan mereka akan mendapat pahala lima puluh orang dan mereka beramal sebagaimana amalan kamu.” (Sabda Rasulullah s.‘a.w. di dalam Sunan al-Tirmizi).

8) Menghindari daripada fitnah (perselisihan dan perpecahan):

“Kelak akan berlaku fitnah, orang yang duduk pada waktu itu lebih baik daripada orang orang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang berjalan, orang yang berjalan lebih baik daripada orang berlari-lari. Sesiapa yang mencari-carinya ia akan terjerat dan sesiapa yang mendapat tempat berlindung atau berteduh, hendaklah ia berlindung dengannya.” (Sabda Rasulullah s.‘a.w. diriwayatkan daripada Abu Hurairah di dalam Sahih al-Bukhari).

No comments: